JAKARTA, INDONESIA – Kelibat entiti puntianak yang dirakam secara tidak sengaja di sebuah gelanggang badminton di Cagar Alam, Pancoran Mas, Kota Depok di sini tular di laman perkongsian gambar Instagram sejak Sabtu lalu.
Menurut laporan laman berita tempatan, imej puntianak berpakaian putih dan berambut panjang itu dirakam oleh kamera telefon pintar milik salah seorang penonton semasa menyaksikan perlawanan badminton di situ.
Selepas menyedari kehadiran tetamu ‘tidak diundang’ itu, gambar tersebut dimuat naik ke dalam akaun Instagram @Depok24Jam kelmarin dan mengundang bermacam reaksi netizen.
“Gambar ini asli dan dirakam oleh seorang penonton bernama Diki semasa menyaksikan perlawanan badminton di gelanggang Gang Balong pada Sabtu lalu,” kata seorang penduduk sekitar bernama Arief.
Seorang penduduk setempat dikenali sebagai Jaya berkata, semasa kejadian, para pemain melakukan aksi memanaskan badan dan tidak menyedari kemunculan puntianak di situ.
“Tiada sesiapa di tempat puntianak itu berdiri semasa gambarnya dirakam.
“Malah saya juga berada tidak jauh dari situ ketika gambar ini diambil semasa hujan renyai-renyai,” kata Jaya. – Agensi