TAPAH – Siasatan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dipercayai tertembak diri sendiri dalam dua kejadian berasingan di Lumut dan Bedong pada masih berjalan.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PGA, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti punca sebenar kedua-dua kejadian tersebut berlaku.
“Kes berkenaan masih dalam siasatan Jabatan Siasatan Jenayah negeri masing-masing dan punca sebenar kejadian masih belum dapat dikenal pasti.
“Kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana dalam siasatan kita, tiada isu yang boleh menyebabkan anggota bertindak sedemikian,” katanya pada sidang akhbar ketika Lawatan Kerjanya ke Batalion 3 PGA Bidor di sini hari ini.
Tambah Mastor, kedua-dua anggota berkenaan boleh merujuk kepada Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) jika terdapat sebarang isu yang menimpa mereka.
“Pihak JIPS ini akan memberikan kaunseling serta nasihat dan bimbingan sewajarnya kepada mereka,” katanya.
Dalam kejadian 19 Julai lalu, seorang anggota PGA ditemui mati di berek Balai Polis Pantai Remis, Lumut akibat tembakan senjata M4 di bahagian kepala kira-kira pukul 9.25 malam.
Koperal berkenaan bertugas di Batalion 18 Senoi Praaq, Pengkalan Hulu dan terbabit dengan bantuan Op Benteng Covid-19 di daerah Manjung.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu pula, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mati dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian di Markas Latihan Luar PGA di Tupah, Bedong, Kedah.
Mangsa berusia lingkungan 30-an dan berpangkat lans koperal itu ditemui dengan kesan tembakan pada kepala dengan senjata api jenis M-16 kira-kira pukul 4.30 pagi.-K! ONLINE