fbpx

Pemandu bawah pengaruh dadah sebabkan kematian direman dua hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh SHAARANI ISMAIL

PARIT – Lelaki yang melanggar seorang warga emas hingga maut kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dalam kejadian Jalan Parit, Kampung Serapoh pagi semalam direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Barudin Wariso berkata, suspek berusia 46 tahun itu direman bermula hari ini hingga esok.

Barudin berkata, suspek direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek turut mendakwa dia mengambil syabu pada pagi sebelum kemalangan itu berlaku semalam.

“Dia juga sudah lebih dua tahun terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah ,” katanya di sini hari ini.

Barudin berkata, esok lelaki itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Parit, esok mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 atas kesalahan memiliki dadah.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi semalam, Perodua Kelisa dipandu suspek berlanggar dengan motosikal ditunggang Razali@Nazaei Yaacob, 82, sebelum warga emas itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Pemeriksaan lanjut pada suspek menemui dua paket plastik lutsinar disyaki methamphetamine dan peralatan mengisap dadah di dalam kotak rokok di tangan kanannya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI