fbpx

K2

Mimik muka ikonik Lee Bee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIMIK mukanya datang sendiri secara semula jadi selari dengan maklumat yang ingin disampaikan.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu.

Peribahasa itu tepat menggambarkan hidup personaliti jurubahasa isyarat, Tan Lee Bee, 57, apabila wajahnya kini ‘melekap’ di minda umum terutamanya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu ekoran kekerapannya menghiasi televisyen saat kemunculan para pemimpin negara menyampaikan perkembangan Covid-19.

Semangat dan kelincahan anak kelahiran Labis, Johor beraksi di hadapan kamera menggunakan bahasa isyarat demi menyampaikan berita kepada golongan cacat pendengaran di negara ini sememangnya mengagumkan segenap lapisan masyarakat.

Siapa sangka, perasaan simpati menemani adiknya yang cacat pendengaran menghadiri kelas kira-kira 30 tahun lalu menjadi batu loncatan buat Lee Bee untuk terus maju dalam bidang penyiaran dengan menjadi ‘suara’ bagi golongan tersebut.

“Tanpa adik, saya tidak mungkin berada di sini hari ini. Saya gembira dengan kerjaya ini kerana dapat membantu golongan pekak untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini isu-isu semasa dari dalam dan luar negara,” katanya kepada K2.

Menceritakan lebih lanjut, anak ke-9 daripada 11 beradik ini mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadikan jurubahasa isyarat sebagai karier sementelahan dirinya individu normal.

Kata Lee Bee, sewaktu kecil, dia ialah seorang yang sangat lasak dan bercita-cita ingin menjadi anggota polis.

Begitupun, akui wanita yang berasal dari Labis, Johor ini, takdir kehidupannya sudah tertulis bahawa dia akan menjadi jurubahasa isyarat suatu hari nanti.

Mengimbau kembali detik-detik awal yang mengheretnya berkecimpung dalam dunia tersebut, Lee Bee akui penglibatannya dalam bidang tersebut diumpamakan sebagai bidan terjun.

Memulakan kerjaya sebagai seorang guru di sebuah sekolah pendidikan khas di Selangor selama 17 tahun, dia turut menawarkan khidmatnya secara percuma bagi golongan pekak pada waktu malam di gereja dan badan-badan yang memerlukan pada tahun 1980-an.

“Pada waktu itu, tidak ramai individu yang boleh berbahasa isyarat di negara ini.

“Niat saya hanya satu iaitu mahu membantu individu pekak memahami apa yang berlaku di sekeliling mereka selain mempromosikan penggunaan bahasa isyarat kepada umum.

“Pada waktu itu saya dapati majoriti masyarakat di negara ini tidak tahu peranan jurubahasa isyarat kepada golongan tersebut. Bagaimanapun, seiring dengan peredaran waktu, saya bersyukur kerana mereka sudah mula sedar akan kepentingan kami,” jelasnya.

LEE Bee telah berkhidmat sebagai jurubahasa isyarat selama lebih 30 tahun.– FOTO AMIR KHALID

Setapak demi setapak, Lee Bee kemudian mula berjinak-jinak di dalam dunia penyiaran sekitar tahun 1985, selepas Menteri Penerangan pada waktu itu, Datuk Mohamed Rahmat mahu seorang jurubahasa isyarat dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia untuk penyampaian kepada golongan penonton cacat pendengaran.

Biarpun lincah beraksi di depan kamera, namun apa yang menariknya ialah figura ini mengakui sewaktu penglibatan awalnya sebagai guru dan jurubahasa isyarat, dia tidak pernah mendapatkan pendidikan dalam bidang tersebut secara formal.

“Setiap isyarat dipelajari secara tidak formal sewaktu menemani adik di sekolah selain menelaah buku-buku yang dibawa pulang suatu ketika dahulu.

“Saya bagaimanapun menjadi bertambah mahir dalam bahasa isyarat selepas bergaul dengan rakan-rakan adik. Saya memerhati isyarat yang digunakan ketika mereka berkomunikasi. Dari situ, pergerakan-pergerakan itu melekat di dalam memori sehingga saya boleh berbahasa isyarat secara semula jadi,” jelasnya.

Ternyata, Lee Bee begitu bertuah apabila dirinya kemudian mendapat tajaan biasiswa dari Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Orang Pekak di Universiti Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1988.

“Biarpun ketika menyambung pengajian, hanya saya seorang yang sempurna dan rakan-rakan sekuliah yang lain dalam kalangan golongan OKU, namun saya bersyukur kerana banyak didedahkan dengan kemahiran berbahasa isyarat.

“Ilmu yang diperolehi itu memantapkan lagi penguasaan diri saya dalam dunia bahasa isyarat dan digunakan sehingga ke hari ini,” katanya.
Ujar Lee Bee lagi, sebaik tamat pengajian di AS, dia kembali mencurah bakti di Sekolah Kanak-Kanak Pekak Selangor di Petaling Jaya. Bagaimanapun, pada tahun 1995, dia dipanggil untuk berkhidmat di RTM menerusi program berita Nasional 8 sebagai jurubahasa isyarat sepenuh masa sehingga ke hari ini.

Impak

Mungkin ada yang menganggap tugas jurubahasa isyarat ini hanyalah sekecil alam. Biarpun begitu, tanpa disedari, kehadiran jurubahasa isyarat ini sebenarnya memberi impak yang besar kepada golongan tersebut.

Ini kerana, tanpa bantuan bahasa isyarat, golongan tersebut gagal memahami maklumat yang disampaikan dengan baik.

“Dari pandangan mata kasar, tugas saya mungkin sama sahaja dengan pembaca berita. Bagaimanapun, kami sebenarnya menggalas tanggungjawab yang berbeza.

“Pembaca berita selalunya hanya membaca teks yang telah disediakan, manakala saya pula perlu memahami apa yang disampaikan sebelum menterjemahkan ayat-ayat tersebut ke dalam bahasa isyarat dengan cepat dan mudah diterima oleh golongan OKU.

“Gerak tangan dan mimik muka yang dilakukan pula perlulah seiring dengan apa yang dibacakan dan memenuhi standard Bahasa Isyarat Malaysia,” jelasnya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai pengalamannya, menurut Lee Bee lagi, sepanjang lebih 30 tahun menjadi jurubahasa isyarat, dia mengakui mengendalikan kes di mahkamah adalah tugasan paling mencabar buatnya.

Ini kerana, jika terjemahan salah dilakukan, ia bakal memberi kesan besar buat individu itu.

“Bukan mudah untuk memahamkan Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kalangan golongan ini kerana tidak semua antara mereka tahu menggunakan bahasa isyarat. Kadangkala saya terpaksa mengambil masa yang lama untuk memahamkan mereka.

“Sehingga ke satu tahap, saya terpaksa berlakon atau membuat kaedah tertentu seperti menggunakan kalendar, mimik muka dan gaya tubuh. Apa-apa pun, saya bersyukur kerana mereka faham dengan apa yang disampaikan.

“Paling mencabar, setiap gerak-geri perlu dibuat secara berhati-hati kerana jika tersalah isyarat, individu bakal berhadapan dengan hukuman berat dan lebih menyedihkan hukuman mati biarpun tidak bersalah,” jelasnya.

Tatkala ditanya mengenai ekspresi mukanya yang tular dan menjadi bahan senda sesetengah orang, Lee Bee hanya tersenyum.

“Seperti yang saya katakan, bukan mudah untuk memahamkan golongan cacat pendengaran. Ekspresi muka itu datang secara spontan selari dengan maklumat yang ingin disampaikan kepada penonton.

“Misi saya hanya satu iaitu memastikan penonton menerima maklumat yang ingin disampaikan dengan tepat dan betul selain memastikan mereka tidak tercicir daripada mengikuti perkembangan semasa dunia,” jelasnya menutup bicara.

LEE Bee menggunakan bahasa isyarat untuk menyampaikan maklumat kepada golongan cacat pendengaran di negara ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI