fbpx

MBSP pergiat kerja pembersihan di zon kuning

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas Jabatan Pengurusan Krisis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melakukan proses nyah kuman di seluruh kawasan Pasar Awam dan Penjaja Sementara Seberang Jaya selepas kawasan sekitar diisytiharkan zon kuning. - Foto AMIR IRSYAD OMAR

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

PERMATANG PAUH – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mempergiatkan kerja-kerja pembersihan di beberapa lokasi yang telah disahkan berlakunya jangkitan Covid-19 di ketiga-tiga daerah di sini iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya bersedia untuk memikul tanggungjawab itu walaupun ia sepatutnya digalas oleh pihak lain sepenuhnya dan akan memohon untuk bekerjasama dengan bomba bagi tujuan itu.

“Saya sendiri telah arahkan Wira Oren (kakitangan MBSP) untuk turun padang bagi melakukan kerja-kerja pembersihan itu setiap hari sejak kes jangkitan tersebut dilaporkan,” katanya.

Beliau ditemui semasa melakukan pemantauan terhadap proses sanitasi atau nyah kuman yang dijalankan di Pasar Awam Sementara di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Rozali, MBSP kini memberi tumpuan terhadap kerja-kerja tersebut khususnya di beberapa pasar awam yang berada dalam zon kuning ketika ini.

Katanya, selain di Seberang Jaya, pasar awam yang terlibat termasuk Pasar Awam Taman Chai Leng, Pasar Awam Sungai Bakap, Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara, Pasar Awam Taman Berjaya dan Pasar Awam Sri Rambai.

“Kerja-kerja diinfeksi (nyah kuman) di pasar-pasar ini akan dijalankan pada setiap hari manakala pasar-pasar awam lain pula akan dijalankan sebanyak dua hari sekali,” ujar beliau.

Secara keseluruhan beliau berkata, sebanyak 30 pasar awam dan kira-kira 66 kompleks makanan dalam tiga buah daerah di sini terlibat dengan proses tersebut yang bermula hari ini.

Katanya, antara jabatan yang terlibat dalam kerja-kerja itu pula termasuk Jabatan Pelesenan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pengurusan Krisis dan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dalam MBSP.

“Selain pasar awam yang berkenaan, MBSP juga mengambil inisiatif untuk menutup hampir sebahagian besar daripada taman-taman permainan dan gim untuk aktiviti luar di Seberang Perai bagi mencegah penularan Covid-19 yang juga bermula hari ini,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI