fbpx

Maqis rampas pisang dari Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maqis rampas 300kg pisang dari Thailand yang cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen sah di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam semalam.

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan menyeludup 300 kilogram (kg) pisang dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat sini semalam.

Pengarahnya, P. Lily Rosalind berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan ke atas sebuah lori di laluan kargo import di kompleks tersebut kira-kira pukul 5.30 petang menemui sebanyak 300kg pisang bernilai RM1,500 yang dibawa masuk tanpa dokumen sah.

“Dokumen sah itu melibatkan Permit Import yang dikeluarkan Maqis dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, bekalan pisang yang cuba dibawa masuk itu adalah bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Menurut Lily Rosalind, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Tambahnya, Maqis sentiasa memantau dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI