KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menerima semula kedatangan pelancong asing dari negara yang dikategorikan sebagai zon hijau Covid-19 sedang diteliti sekiranya pintu masuk negara mahu dibuka semula.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia berikutan pendekatan hanya menerima pelancong dari negara zon hijau sebelum ini, dilihat tidak praktikal kerana ada negara terbabit dilanda gelombang baharu wabak tersebut.
“Ketika ini, kita melihat pada destinasi yang dikategorikan sebagai zon hijau, kita juga masih meneliti kaedah ini dan ia usaha berterusan kementerian.
“Bagaimanapun pelancongan antarabangsa ini juga tertakluk pada negara tersebut sekiranya mereka membuka ruang (kemasukan pelancong) kepada negara kita,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian-BN) yang ingin tahu mengenai perancangan kementerian itu bagi menerima kemasukan pelancong asing dari negara zon hijau Covid-19.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) mengenai bantuan kepada pemandu pelancong yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Nancy berkata, terdapat kursus yang dianjurkan secara percuma untuk golongan berkenaan.
Ujarnya, program tersebut membabitkan permohonan lesen dan pembaharuan lesen pemandu pelancong.
“Mereka yang tergolong sebagai pemandu pelancong, terdapat program yang boleh mereka manfaatkan. Sebelum ini, mereka perlu menduduki satu program dengan harga RM50. Kalau mereka ambil sendiri belum dapat lesen atau nak memperbaharui lesen, setahun kena bayar RM150 seorang untuk tiga program.
“Mereka perlu tiga program untuk dapat atau memperbaharui lesen. Secara keseluruhan, kita ada sembilan jenis program. Semasa PKP, kita anjur program ini secara percuma,” katanya.-K! ONLINE