SEREMBAN – Inix Technology Bhd. (Inix) dan Lgylan Properties Sdn. Bhd. (Lgylan) jalin usaha sama untuk membangunkan kilang pengeluaran sarung tangan getah.
Projek tersebut dijangka melibatkan pelaburan lebih daripada RM100 juta di Sendayan di sini.
Pengarah Urusan Lgylan, Datuk Lui Pak Leung Cha berkata, pihaknya melabur kira-kira RM12.25 juta bagi mewakili ekuiti sebanyak 35 peratus dalam syarikat usaha sama tersebut manakala baki kepentingan tersebut diwakili Inix dengan pelaburan sebanyak RM22.75 juta.
“Kilang baharu ini mempunyai sepuluh barisan pengeluaran dan setiap barisan pengeluaran bakal menghasilkan 35,000 unit sarung tangan setiap jam.
“Satu barisan pengeluaran tersebut bakal menghasilkan 840,000 unit untuk setiap 24 jam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis jalin kerjasama antara dua syarikat tersebut di sini semalam.
Turut hadir Naib Pengerusi Inix, Datuk Tan Choon Hwa dan Pengarah Eksekutif Inix, Lee Han Keat.
Leung Cha menjelaskan, kilang tersebut bakal memulakan operasi menjelang Oktober atau November ini.
“Sebaik sahaja, dua barisan pengeluaran tersebut siap, kami akan memulakan operasi kilang.
“Saya menjangkakan keseluruhan kilang akan siap pada Januari depan,” tambahnya.
Sementara itu, Choon Hwa menjelaskan, kerjasama dua syarikat itu bakal memberi impak kepada potensi peluang menguasai pasaran pada masa depan.
“Kawasan perindustrian ini (Sendayan) merupakan lokasi terbaik kerana berhampiran dengan pelabuhan dan lapangan terbang,” katanya.