Oleh ALICIA JOHNY KUEH
MIRI – Dua kontraktor yang tiba di sini dari Kuala Lumpur pada Ahad lalu dan enggan menjalani arahan kuarantin telah ditahan pada pagi semalam.
Ketua Polis Daerah ACP, Lim Meng Seah berkata, kedua-dua lelaki terbabit telah tiba di Lapangan Terbang Miri pada pukul 2.40 petang Ahad lalu dan enggan mengikuti kuarantin, salah satu arahan yang dikenakan pihak berkuasa untuk mencegah penularan wabak Covid-19.
“Pegawai Kementerian Kesihatan, Rozie Ramba telah mengarahkan kedua-dua subjek untuk membeli tiket baru untuk transit di Miri dan balik semula ke Kuala Lumpur.
“Setelah membeli tiket, kedua-dua penumpang tersebut telah mengelakkan diri tidak menaiki penerbangan pukul 5.50 petang dari Miri ke Kuala Lumpur dan telah pergi ke bandar Miri.
“Keesokan harinya pada pukul 2.14 petang, kedua-dua lelaki ini telah pergi ke Lapangan Terbang Miri lalu ditangkap pihak polis atas kesalahan melanggar syarat perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek telah datang ke Miri untuk menghadiri satu mesyuarat syarikat kejuruteraan di Mcld Piasau Industrial pada pukul 10 pagi semalam.
Kedua-dua suspek telah menghadiri mesyuarat tersebut dan mereka juga telah menginap di Hotel Pullman Miri pada malam sebelumnya.
Lim turut berkata bahawa kedua-dua suspek telah diberi jaminan polis kerana mereka perlu ditempatkan di pusat kuarantin mengikut nasihat kementerian.
Tambahnya, kedua-dua suspek akan dituduh setelah tamat tempoh kuarantin.
Kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – K! ONLINE