LUMUT – Dua nelayan berhadapan detik-detik cemas apabila bot dinaiki kehabisan minyak dan hanyut selama tiga hari sebelum ditemui nelayan lain di 15.5 batu nautika barat daya Kuala Kurau lewat petang semalam.
Mangsa, Lim Ah Che Ong, 51, dan Teong Leng Huat, 52, hanyut selama tiga hari sejak Sabtu lalu dan ditemui dalam keadaan selamat oleh sebuah bot nelayan tempatan.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya segera menghantar bot KILAT 30 bersama bekalan minyak dari Zon Maritim Kuala Kurau sejurus mereka berdua ditemui dalam usaha menyelamatkan mereka.
“Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa menggunakan Kapal Maritim Tugau meliputi 130 batu nautika persegi dari Pantai Remis.
“Operasi mencari dan menyelamat mereka berdua turut dibantu beberapa bot nelayan tempatan sejak mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
Tambah Shahrizan, bot mereka diiringi ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk pemeriksaan kesihatan.
Katanya, para nelayan dan komuniti maritim dinasihatkan agar memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik serta selamat sebelum memulakan aktiviti di laut.-K! ONLINE