KUALA LUMPUR – Operasi pembaikan bagi perkhidmatan kereta api secara terus dari Tumpat ke Gemas mengalami kelewatan berpunca daripada beberapa faktor dan dijangka siap pada pertengahan 2021.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, proses pembaikan selepas landasan kereta api yang rosak rosak akibat dilanda banjir besar pada penghujung 2014 lalu sepatutnya mengambil masa antara 24 hingga 36 bulan untuk disiapkan.
“Walau bagaimanapun, beberapa cabaran, termasuk faktor cuaca, operasi semasa dan tempias Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19 menyaksikan kerja pembaikan landasan kereta api tersebut sedikit tergendala.
“Masa untuk menjalankan kerja-kerja pula seterusnya dihadkan hanya empat jam. Berhubung isu tiga kontraktor yang mengendalikan kerja ini, ada yang cekap, ada yang lambat 25 peratus. Kita sudah ambil tindakan, kita akan saman sekiranya mereka tidak menepati syarat, namun kita tekankan supaya siap pada pertengahan 2021,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-Pas) yang ingin tahu mengenai punca kelewatan pembaikan khidmat kereta api secara terus dari Tumpat ke Gemas, yang sebelum ini sepatutnya dijangka siap tahun lalu.
Beliau menambah, kerajaan memang memberi keutamaan kepada kerja-kerja menaik taraf serta membaik pulih kerosakan yang dialami oleh rangkaian kereta api bagi jajaran Gemas–Tumpat termasuk kerosakan akibat bencana banjir pada penghujung tahun 2014.
Ka Siong berkata banjir yang melanda sektor Pantai Timur pada 22 Disember 2014 telah mengakibatkan kerosakan teruk pada infrastruktur landasan, peralatan persemboyanan dan juga jentera penyelenggara landasan yang telah ditenggelami air.
Katanya, antara kerosakan infrastruktur landasan yang dialami adalah tanah runtuh, landasan terhakis dan ditenggelami air serta jambatan keretapi yang telah dihanyutkan air.
“Banyak kerosakan yang berlaku terhadap bangunan pejabat, stesen dan kuarters terutamanya di kawasan Manik Urai, Dabong, Kemubu, Kuala Krai dan Chegar Perah. Berikutan itu, kerajaan telah memperuntukan dana berjumlah RM874.7 juta bagi membaikpulih infrastruktur landasan dan stokereta di sektor Pantai Timur.
“Peruntukan ini terdiri daripada dana berjumlah RM778.0 juta bagi projek membaikpulih infrastruktur landasan bagi sektor Gemas ke Tumpat dan RM96.7 juta bagi program pemulihan stesen dan lain-lain infrastruktur keretapi yang terjejas akibat musibah banjir besar yang telah melanda negeri di Pantai Timur,” katanya.-K! ONLINE