KLANG – Seorang janda yang juga amah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan bayi majikannya berusia setahun, bulan lalu.
Eli Limayati, 21, diperintahkan menjalani hukuman tersebut daripada tarikh dia ditangkap pada 30 Julai lalu selain turut dikenakan bon kelakuan baik RM40,000 bersama seorang penjamin selama lima tahun.
Tertuduh juga dikehendaki menjalani khidmat masyarakat selama 180 jam dalam tempoh enam bulan.
Eli dalam prosiding tersebut membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Indonesia dialek Sunda di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan fizikal iaitu melecur akibat air panas kepada seorang bayi perempuan berusia setahun pukul 6.30 petang pada 29 Julai lalu di Taman Klang Perdana, Kapar.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan
Selain itu, sebagai tambahan dalam subseksyen (1) memerintahkan agar orang yang disabitkan kesalahan subseksyen itu menyempurnakan satu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh yang difikirkan patut oleh mahkamah dan khidmat masyarakat.
Terdahulu, Eli yang tidak diwakili peguam itu dalam keadaan menangis memohon hukuman dikurangkan susulan terpaksa menanggung seorang anak dan kedua ibu bapanya di Indonesia selepas bercerai dengan suaminya.
“Saya betul-betul tidak sengaja kerana bayi ketika itu meronta-ronta dan menangis sehingga terlepas daripada dukungan dan terjatuh ke dalam baldi berisi air panas.
“Di samping itu, saya memohon maaf sebanyaknya dan menyesali perbuatan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar menegaskan sepatutnya tertuduh menjaga bayi itu sebaiknya kerana mangsa baharu berusia setahun empat bulan dan tidak berupaya menjaga diri sendiri.
“Tertuduh bukan seorang diri ketika itu dan boleh menyuruh majikannya memegang bayi tersebut terlebih dahulu dan bukan sebaliknya.
“Ini merupakan kesalahan serius sehingga menyebabkan melecur serta pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia setahun melecur pada badan dipercayai didera pembantu rumah dalam kejadian di bilik air sebuah kilang papan di Taman Klang Perdana, Kapar.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, mangsa melecur pada belakang badan,punggung dan kedua-dua kakinya akibat terkena air panas selepas dimandikan oleh Eli.-K! ONLINE