COLOGNE, Jerman – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer hanya memerlukan tiga perlawanan lagi untuk membawa pasukannya muncul juara Liga Europa sekali gus menjulang trofi pertamanya sejak menyertai pasukan itu pada Disember 2018.
United dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mencatat kemenangan ke atas FC Copenhagen pada aksi suku akhir Liga Europa yang akan berlangsung di Stadion Rheine Energie, Cologne awal pagi esok.
Pengendali berusia 47 tahun itu menganggap kejayaan menjuarai Liga Europa sebagai pengurus United akan mengatasi pencapaian bergelar juara trebel semasa eranya sebagai seorang pemain pada musim 1998-1999 lalu.
“Saya sentiasa mengimpikan peluang untuk menjulang trofi sebagai pengurus United. Ia akan menjadi detik paling istimewa dalam karier saya.
“Saya ‘berhutang’ terlalu banyak dengan United atas setiap peluang yang telah diberikan sepanjang saya menyarung jersi pasukan ini dahulu. Sekarang masanya saya membalas kepercayaan mereka.
“Saya mempunyai pemain-pemain yang mampu memastikan kejayaan ini tercapai. Menjulang trofi adalah matlamat semua pemain pada waktu ini,” katanya.
The Red Devils selangkah sahaja lagi ke pentas final sekiranya berjaya menewaskan Copenhagen dan bakal berdepan Wolverhampton Wanderers atau Sevilla pada aksi separuh akhir, Isnin minggu depan.
Jika segalanya berjalan mengikut perancangan, Solskjaer dan anak-anak buahnya akan membuat perhitungan dengan Inter Milan atau Bayer Leverkusen di pentas final pada 22 Ogos ini.
– AGENSI