Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – “Tiada keperluan bagi individu melompat parti melihat saya sebagai adik kepada Tan Sri Musa Aman hanya untuk memasuki Parti Cinta Sabah (PCS).
“Semua individu sebaliknya harus melihat saya selaku seorang pemimpin dan jangan melibatkan unsur peribadi,” kata Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman.
Anifah menyatakan pihaknya mungkin berasa sedikit bimbang jika individu suka melompat parti memasuki PCS kerana berkemungkinan boleh mempengaruhi orang lain dalam parti melakukan perkara sama kelak.
Menurut beliau, penilaian serta penelitian bakal dibuat agar individu pernah melompat parti tidak mudah masuk ke dalam parti.
Beliau berkata, demikian ketika sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Media Sabah hari ini.
Anifah menjawab soalan diajukan pihak media berkaitan samaada PCS bakal menerima individu melompat parti dan menyatakan sokongan kepada Tan Sri Musa Aman.
Menerusi sidang media sama, Anifah menyatakan pendapat sudah tiba masanya Musa memberikan peluang kepada orang muda bsrgelar pemimpin untuk terus membangunkan Sabah.
Beliau berkata, beliau secara peribadi berbangga dengan semua pembangunan yang sudah dilakukan Musa sebelum ini.
Sementara itu, mengulas lanjut tentang parti yang baru dijenamakan semula beberapa minggu lalu itu, Anifah berkata PCS ketika ini akan bergerak sendirian namun sedia bekerjasama dengan parti tempatan lain yang mempunyai misi dan visi sama dengan parti diterajuinya. – K! ONLINE