Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 menahan seorang tekong darat ketika dia sedang dalam perjalanan membawa keluar sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand di Jalan Kampung Bagus di sini pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, lelaki berkenaan yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard itu berjaya ditahan selepas cuba meloloskan diri sejurus menyedari pergerakkannya dikesan anggota PGA.
Menurutnya, kejayaan itu hasil rondaan rutin yang dilakukan oleh anggotanya di sekitar kawasan pangkalan haram Adam, Lubok Gong dekat sini.
“Sepasukan anggota PGA Batalion 9 terserempak sebuah kenderaan yang dipandu
dalam keadaan mencurigakan menghala ke Rantau Panjang sebelum telah mengejarnya pada pukul 6 pagi tadi.
“Kita cuba menahan kenderaan tersebut, namun pemandumya terus memecut laju sebelum berhenti di Jalan Kampung Bagus,” katanya.
Nor Azizan memberitahu, anggota PGA kemudiannya telah melakukan pemeriksaan dan menemui sembilan orang lelaki dipercayai PATI.
Katanya, siasatan awal mendapati tekong darat itu membawa PATI dari Thailand dibawa untuk bekerja di Selayang, Selangor dengan menggunakan pangkalan haram Bilal Dollah.
“Bukan itu sahaja, suspek turut mengaku menerima upah sebanyak RM3,150 dengan RM350 untuk setiap seorang PATI,” katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 26(J) Akta Anti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (ATIPSOM) 2012 dan Seksyen 6(1)(C) Imigresen 1959/63. – K! ONLINE