Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Sebanyak 472.75 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM15 juta yang dirampas di negeri ini sejak 2008 hingga 2018 dilupuskan di Kepala Batas di sini hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, dadah berkenaan adalah hasil rampasan daripada kes-kes serbuan makmal memproses dadah dan daripada tangkapan 23 individu.
“Selain dadah, sebanyak 472.75 kg kafein, 101,819 mililiter cecair bahan kimia, 13,000 kg bentonite dan 153 peralatan yang digunakan untuk membuat dan memproses dadah turut dilupuskan.
“Proses pelupusan dadah akan dilaksanakan oleh Pusat Kualiti Alam mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, di Stor Berpusat Kontinjen, Seberang Perai Utara di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata JSJN negeri berjaya menumpaskan empat sindiket makmal dadah haram bagi tempoh Januari sehingga Julai lalu.
Katanya, pihaknya turut merampas 460.31 kg pelbagai jenis dadah tradisional dan sintetik, 67,190 pil esctacy, 5,895.6 liter ketum dan kodien, 4 batang pokok ganja dan 530.65 kg daun ketum.
“Nilai rampasan keseluruhan bernilai hampir RM7.7 juta,” katanya. – K! ONLINE