TURIN – Juventus membuat kejutan kedua dalam tempoh 24 jam apabila melantik bekas pemain pasukan itu Andrea Pirlo sebagai jurulatih selepas memecat Maurizio Sarri kelmarin.
Kelab gergasi Itali membuat keputusan melantik Pirlo kira-kira sejam selepas memecat Sarri yang gagal membawa pasukan itu mara ke saingan suku akhir Liga Juara-Juara apabila disingkirkan oleh Olympique Lyon pada aksi kelmarin.
Pirlo, 41, yang juga merupakan legenda bola sepak di Itali telah meraih pelbagai kejuaraan sepanjang bergelar pemain telah dilantik sebagai jurulatih pasukan bawah 23 (B-23) bulan lalu dan kini menandatangani kontrak selama dua tahun bersama skuad utama Juventus.
“Keputusan yang dilakukan oleh kelab ini adalah berdasarkan kepercayaan bahawa Pirlo mampu memberi nafas segar buat pasukan ini dalam misi untuk memburu lebih banyak kejayaan selepas ini.
“Hari ini bermulalah episod baharu dalam hidupnya untuk dunia bola sepak yang lebih besar. Daripada seorang yang digelar maestro kepada jurulatih yang berkaliber,” jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh Juventus.
Juventus berharap Pirlo mampu menyaingi kehebatan dan kegemilangan yang dilalui oleh Zinedine Zidane yang bermula sebagai pemain yang berjaya kemudian menjadi jurulatih yang hebat.
Zidane yang juga bekas pemain Juventus berjaya meraih dua gelaran La Liga serta merangkul tiga kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Real Madrid selepas mengambil alih kemudi pasukan tersebut.
“Ia bukanlah satu keputusan yang luar biasa diambil oleh Juventus kerana Pirlo pernah berada di sini, bermain untuk kami dan mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang.
“Kami percaya ia adalah langkah pertama buatnya untuk mengecapi sesuatu yang lebih gemilang,” kata Ketua Pegawai Bola Sepak Juventus, Fabio Paratici. – AGENSI