KUALA LUMPUR – Nama Ketua Pemuda Tanjung Malim, Mohd. Amin Othman sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak pada 29 Ogos nanti telah dicadangkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kepada pimpinan tertinggi parti tersebut.
Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan tersebut mengambil kira tindakan yang sama telah dilakukan pada PRK Chini baru-baru ini yang mana pihak Pemuda UMNO turut menamakan calon muda.
“Namun kami akan akur dengan apa jua keputusan yang dikeluarkkan oleh kepimpinan tertinggi parti untuk menentukan calon yang lebih sesuai untuk PRK tersebut.
“Kami telah mencadangkan Mohd. Amin yang juga Exco Pergerakan sebagai calon daripada Pemuda UMNO kepada pimpinan tertinggi. Bagaimanapun kami akur dengan apa jua keputusan nanti. Kami telah memberi cadangan sama seperti di PRK Chini agar anak muda dipilih sebagai calon,” ujarnya ketika sidang akhbar selepas mesyuarat bulanan sayap UMNO itu di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calonnya pada 12 Ogos ini dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Slim.
Mengenai persiapan PRK, Asyraf menjelaskan, Pemuda UMNO telah menggerakkan jentera pilihan raya DUN itu yang diketuai Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid sejak dua minggu lalu.
Jelas Asyraf, pihaknya juga telah meletakkan semua Ketua Pemuda Bahagian di negeri itu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai bahagian angkat.
“Fokus kami adalah untuk menarik keluar danmengumpulkan seberapa ramai anak muda di PDM selain anak muda yang berada di luar kawasan untuk balik mengundi,” katanya.
Terdahulu, PRK DUN Slim akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.
Pada PRU 14 2018 yang lalu, Mohd. Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal. – K! ONLINE