KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia cadangkan agar logo Barisan Nasional (BN) digunakan sebagai lambang rasmi sewaktu pilihan raya umum (PRU) ke 15 akan datang.
Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu turut dipanjangkan kepada parti yang bukan komponen BN secara rasmi iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Cadangan ini perlu dipertimbangkan kepimpinan parti yang terlibat bagi menunjukkan kesepakatan dan memastikan pertandingan satu lawan satu bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kalau ada pandangan yang mengatakan lambang BN ini sudah tak relevan dan tak laku, kami di peringkat sayap Pemuda UMNO dan BN sudah pun sepakat mahukan calon-calon Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC dan parti komponen lain bertanding pada PRU akan datang, menggunakan lambang BN.
“Sekiranya ada parti lain termasuk Pas nak menggunakan lambang BN, kita mengalu-alukannya termasuk parti Bersatu. Paling penting, persepakatan harus diadakan supaya dalam PRU akan datang tidak berlakunya pertandingan tiga penjuru,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, di sini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Perlembagaan BN tidak perlu dipinda sekiranya parti bukan komponen bersetuju bertanding di bawah logo itu.
“Yang paling penting, perkara itu perlu dipertimbangkan pihak berkaitan bagi menunjukkan konsep kesepakatan kepada rakyat,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sayap itu percaya lambang BN masih dekat dan kekal relevan di hati rakyat, seterusnya memudahkan pengundi membuat keputusan ketika PRU nanti. – K! ONLINE