Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi bayaran kompaun trafik yang tertunggak kepada orang ramai bersempena meraikan sambutan bulan kemerdekaan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, tawaran diskaun tersebut berkuatkuasa sepanjang bulan ini sehingga 31 Ogos.
Menurut beliau, sehubungan itu orang ramai bolehlah merebut peluang ini dengan membuat bayaran di mana-mana kaunter pembayaran MBI.
“Tawaran diskaun kompaun lalu lintas ini ditawarkan MBI bersempena bulan kemerdekaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBI di perkarangan Bangunan MBI di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rumaizi menyeru pemilik premis di bandaraya ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda patritok sepanjang meraikan sambutan bulan kemerdekaan.
Ujarnya lagi, sehingga kini MBI telah memasang lebih 2,000 Jalur Gemilang di jalan utama di sekitar bandar raya ini sementara 500 lagi dipasang pada premis milik MBI. – K! ONLINE