Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan memaklumkan penularan kes Covid-19 bagi Kluster Sivagangga dan Kluster Kurau adalah berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung pada musim perayaan Aidiladha yang lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kluster berkenaan didapati mencatat pertambahan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini terutama selepas musim perayaan.
Beliau berkata, perkara itu disahkan menerusi siasatan yang dijalankan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan ke atas kontak rapat kes berkenaan.
“Kami mendapati bahawa penularan jangkitan bagi kedua-dua kluster ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan.
“Kebanyakan kes positif kedua-dua kluster ini adalah terdiri daripada ahli keluarga. Golongan warga emas dan juga kanak-kanak turut termasuk dalam kes-kes positif dalam kluster ini, iaitu dalam lingkungan umur dua hingga 70 tahun,” katanya pada sidang akhbar hari ini. – K! ONLINE