Oleh IVAN AMIRUL
SIPITANG – Kehilangan seorang kanak-kanak perempuan di Kampung Kelangsat, semalam, bukan diculik malahan didakwa disembunyikan makhluk halus.
Menerusi kenyataan tular di media sosial, kanak-kanak berusia 10 tahun berkenaan didakwa telah diculik pada awalnya sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang awam.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati beberapa penduduk kampung mendakwa kejadian berkenaan dipercayai berkaitan melibatkan makhlus halus.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, sepasukan polis diarahkan ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Ketua Kampung, Matius Balau serta beberapa penduduk kampung mengesahkan mangsa dipercayai disembunyikan makhluk halus.
“Kejadian didakwa berlaku pada waktu Maghrib sekitar pukul 6.30 petang.
“Mangsa yang hilang dikatakan ditemui di belakang rumah ketua kampung sendiri.
“Mangsa didakwa ditemui di kawasan tanah lapang dalam keadaan telentang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Champin berkata, mangsa dikatakan masih berada dalam keadaan lemah.
Menurutnya, ahli keluarga mangsa kini sedang mengadakan kenduri doa selamat untuk menolak bala mengikut kepercayaan. – K! ONLINE