fbpx

Jaguh bola tampar genius pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TASHA (kanan) menjadikan pemain bola tampar AS, Kerri Walsh Jennings sebagai idola.

SEMANGAT cintakan negara yang tinggi telah mendorong pemain skuad bola tampar pantai wanita kebangsaan, Tasha Mae menangguhkan pengajiannya ke seberang laut.

Keputusan tersebut bagi membolehkan Tasha Mae membantu kontinjen negara meraih pingat dalam temasya Sukan SEA Filipina tahun lalu.

Tasha, 19, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, sepatutnya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang psikologi di Irvine Valley College, California, Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu.

Ia selepas kejayaan atlet bijak itu meraih keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2018, sekali gus muncul pelajar terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Saya sepatutnya sudah melanjutkan pelajaran ke AS pada tahun lalu. Namun, disebabkan niat untuk membantu negara saya menangguhkan hasrat ke sana.

“Bagaimanapun, skuad negara hanya mampu menduduki tempat kelima di Filipina tahun lalu dan kini saya menyasarkan Sukan SEA Vietnam pada 2021 untuk meraih pingat sekurang-kurangnya gangsa,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Sekiranya berjaya direalisasikan, nama Tasha akan terpahat dalam sejarah sebagai salah seorang pemain yang menghadiahkan pingat pertama negara dalam arena bola tampar pantai.

Anak sulung daripada dua beradik itu sebelum ini pernah beraksi dalam sukan bola tampar (dalam dewan) pada Sukan SEA 2017 dan Kejohanan Bola Tampar Wanita Antarabangsa, Piala Lienviet Postbank di Vietnam pada tahun 2017.

Dia juga telah berjaya membantu negara meraih pingat gangsa dalam acara bola tampar wanita pada temasya ASEAN School Games pada tahun 2016 dan 2018.

Menurut Tasha, minatnya dalam sukan bola tampar mula berputih sejak di bangku sekolah rendah iaitu ketika berusia 11 tahun apabila terpilih ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

“Ketika di sekolah, saya memang seorang yang aktif dalam sukan. Saya main saja, tidak sangka pula terpilih mewakili Selangor ke MSSM selama beberapa tahun,” imbaunya.

Bakat pemain tengah pertahanan itu telah berjaya menarik perhatian jurulatih remaja kebangsaan untuk menawarkannya melanjutkan pelajaran ke SSBJ ketika tingkatan dua.

Semasa berusia 16 tahun, Tasha telah berjaya ‘mengetuk pintu’ skuad senior bola tampar wanita untuk mewakili negara ke Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

DARIPADA acara bola tampar (dalam dewan), Tasha kini beralih ke acara bola tampar pantai.

“Meskipun gagal membantu negara meraih sebarang pingat, namun itu tetap satu kejayaan kepada saya kerana dapat beraksi di temasya terbesar di Asia Tenggara buat kali pertama,” ujarnya yang mempunyai hobi melukis bagi mengisi masa lapang.

Selepas berakhir temasya tersebut, Tasha mengambil keputusan paling sukar dalam hidupnya iaitu berhenti bermain bola tampar buat selama-lamanya dalam hidupnya.

Ini disebabkan Tasha merasakan masa depannya dalam sukan bola tampar agak samar, sekali gus mendorongnya untuk menumpukan perhatian kepada pembelajaran.

“Selepas habis sekolah, saya fikir tidak lagi mahu bermain bola tampar kerana melihat masa depan dalam sukan ini tidak secerah sukan-sukan lain. Jadi, saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran,” katanya.

Bagaimanapun, disebabkan satu tawaran yang diterima pada tahun lalu, dia telah mengubah fikiran untuk kembali meneruskan kariernya dalam arena bola tampar.

Kali ini, remaja yang berketinggian 176 sentimeter itu tidak lagi beraksi di dalam dewan, sebaliknya bermain di tepi pantai yang berpasir. Ini dilihat lebih mencabar.

“Jurulatih saya ketika di sekolah rendah yang juga seorang pemain bola tampar pantai, menawarkan peluang untuk mewakili skuad negara dalam Sukan SEA.

“Saya mengambil peluang itu dan jatuh cinta terhadap sukan ini sehingga sanggup menangguh pengajian ke luar negara,” ujar remaja yang menjadikan pemain bola tampar pantai AS, Kerri Walsh Jennings sebagai idola.

Menurut Tasha, harapan untuk mendapat pingat pada Sukan SEA lebih cerah dalam arena bola tampar pantai berbanding bola tampar dalam dewan.

Jelasnya, ia disebabkan bola tampar pantai dimainkan oleh dua orang pemain dan prestasi di dalam gelanggang bergantung sepenuhnya kepada kedua-dua pemain tersebut.

“Kalau bola tampar biasa, jumlah pemain dalam gelanggang adalah enam orang. Jadi, peluang untuk menang emas sukar terutamanya apabila ada pemain lawan menunjukkan prestasi terbaik.

“Bola tampar pantai berbeza kerana ia bergantung sepenuhnya kepada dua pemain. Andai kami bermain bagus, peluang dapat pingat cerah,” jelasnya.

Untuk jangka panjang, Tasha meletakkan sasaran untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia melalui penyertaan dalam Sukan Olimpik 2028 yang akan berlangsung di Los Angeles, AS.

Tasha bertekad untuk terus mewakili negara selagi kudratnya ditagih meskipun selepas melanjutkan pelajaran ke luar negara pada satu hari nanti.

“Tempat pengajian saya di AS itu turut mempunyai gelanggang latihan terbaik untuk pemain bola tampar pantai.

“Jadi, saya akan menggunakan peluang itu untuk meningkatkan kemahiran,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN