Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Ahli Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Melaka (MPNM), Datuk Norhizam Hassan Baktee bersama-sama tiga lagi ahli jawatankuasa tertinggi mengumumkan meletakkan jawatan hari ini.
Turut mengambil keputusan sama ialah Timbalan Pengerusi, Muhammad Muhaimin Lau Abdullah, Setiausaha Kehormat, Azlan Mokhtar dan Bendahari Kehormat, Norman Burhan.
Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani dan Koperasi berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapati terdapat ketirisan dalam Pengurusan Beruniform Pengakap Negeri.
Menurutnya, perkara itu telah dilaporkan kepada Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia sejak April tahun lalu, namun tiada sebarang tindakan susulan diambil.
Dakwanya, ketirisan itu juga telah menyebabkan prestasi kewangan terjejas teruk dan menanggung saman berjumlah RM729,000 dibuat pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja baik pulih kem Pengakap Melaka di Pengakalan Badak.
“Mereka (Pengurusan) sering membuat keputusan berhubung kewangan dengan membelakangi Majlis Pengakap Negeri Melaka .
“Ketirisan ini juga menyebabkan Pengakap Melaka menanggung beban hutang yang tinggi termasuk jumlah saman sebanyak RM729,000 oleh pihak kontraktor yang membaik pulih kem,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini tadi.
Mengulas lanjut, Norhizam menyifatkan situasi itu sebagai “barah” sehingga wujud perpecahan dalam kelangan pemimpin yang telah lama menyumbang tenaga dan kewangan.
“Apa yang berlaku telah menghakis keyakinan ahli-ahli pengakap termasuk penyumbang dan menyebabkan rasa tidak hormat terhadap unit badan beruniform ini.
“Dengan itu kami menganggap keputusan untuk melepaskan jawatan ini secara serta-merta adalah tepat,” katanya. – K! ONLINE.