SUNGAI BULOH – Pengusaha Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid mendedahkan ada dihubungi individu yang mengaku ayahanda.
Katanya, individu tersebut tidak berpuas hati dengan tindakannya menularkan sarang perjudian dan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh baru-baru ini.
“Individu itu memberitahu dia tidak berpuas hati dengan tindakan saya mendedahkan mengenai kegiatan judi di kawasan ini dan kata perkara itu adalah salah, namun tiada ugutan diterima.
“Saya sudah merujuk perkara itu kepada pihak polis menerusi perjumpaan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dan beliau telah memaklumkan akan melakukan siasatan,” uajrnya.
Dia yang lebih dikenali sebagai Asri Janggut berkata demikian ketika ditemui di Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh dalam tinjauan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ke lokasi yang ditularkan.
Terdahulu, Abdul Hamid melalui satu hantaran di laman sosial Facebook mengongsikan sekeping gambar bersama Mohd. Asri di pejabat beliau di Bukit Aman semalam.
Pertemuan tersebut dibuat susulan pendedahannya mengenai premis perjudian dan penjualan rokok haram di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.
Gambar berserta kapsyen “Terima kasih saudara Asri, Pengasas Hot Burger Malaysia kerana sudi hadir ke pejabat saya” itu turut mendapat lebih enam ribu tanda suka, 900 komen dan hampir 2 ribu perkongsian daripada warga maya. – K! ONLINE