fbpx

Ada sinar di sebalik pertemuan Kafa, Norizam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Muzakkir

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU – Pertemuan antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dengan seorang usahawan sebuah jenama burger tempatan, Norizam Tukiman,39, yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam memberi bayangan perkhabaran positif.

Berita itu disahkan sendiri oleh Naib Presiden Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Ahmad Muzakkir berkata, sepanjang pertemuan itu Norizam menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk menyelamatkan masa depan The Red Warriors (TRW).

“Alhamdulillah, ia baik untuk masa depan bola sepak Kelantan namun, masih ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dengan lebih lanjut. Buat masa ini, ia tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Jadi, saya menyeru kepada penyokong untuk terus berdoa semoga usaha yang dilakukan oleh kepimpinan Kafa ini membawa kejayaan pada pasukan,” katanya.

Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan, Norizam menyatakan hasrat untuk menyelamatkan masa depan pasukan bola sepak Kelantan dengan berniat mahu mengambil alih pengurusan pasukan tersebut.

Norizam yang merupakan pemilik syarikat zamburger.my bagaimanapun meletakkan lima syarat kepada pihak pengurusan Kafa untuk dipenuhi sebelum melakukan rundingan lanjut berhubung hasratnya itu.

Lima syarat itu adalah pengurusan semasa akaun iaitu audit, perancangan semasa pasukan, sturuktur organisasi, pendapatan (aliran tunai) dan analisis penuh pasukan.

Ahmad Muzakkir turut menambah, Kafa akan terus bekerja keras bagi memastikan TRW tidak akan terkubur dari saingan Liga Malaysia (Liga M) pada masa hadapan.

Katanya, bola sepak adalah hiburan tradisi rakyat Kelantan yang perlu dipertahankan kerana ia merupakan medium penyatuan paling utuh tanpa mengira latar belakang agama, masyarakat dan fahaman politik.

Sementara itu, Norizam turut berkongsi perkara yang sama dengan memberitahu pertemuan tersebut cukup positif buat kedua-dua belah pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI