KUALA LUMPUR – Ekonomi perkongsian menjanjikan peluang pendapatan baharu buat rakyat Malaysia dalam suasana ketidaktentuan impak pandemik Covid-19.
Ekonomi perkongsian adalah satu ekosistem sosial berteraskan perkongsian aset yang menggunakan platform digital untuk mewujudkan nilai ekonomi melalui peningkatan penggunaan sumber di antara individu dan kerajaan.
Aktiviti ekonomi perkongsian termasuklah penggunaan aset tahan lama, pengedaran semula barangan melalui pasaran sekunder, pertukaran perkhidmatan dan perkongsian aset produktif.
Ketua Pegawai Eksekutif Socar Malaysia, Leon Foong berkata, saiz ekonomi perkongsian, dari segi jumlah transaksi kasar (GMV) dianggarkan bakal mencapai nilai RM10 bilion setahun di negara ini dalam tempoh lima tahun lagi, iaitu pada 2025.
Jelasnya, mengikut kajian dalaman yang dilakukan pihaknya, nilai ekonomi perkongsian di Malaysia kini telah pun mencecah RM2.5 bilion setahun.
“Kami percaya sifat keusahawanan dan minat untuk berniaga yang ada pada rakyat Malaysia akan terus memacu pertumbuhan sektor ini, disokong kemajuan teknologi digital,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Socar Malaysia turut tidak ketinggalan melibatkan diri dalam ekonomi perkongsian, menerusi pelancaran aplikasi Trevo pada awal tahun 2020 yang mengoperasikan perniagaan sewa kenderaan persendirian.
Pemilik Myvi misalnya, mampu menerima pendapatan antara RM50 hingga RM80 sehari dengan menyewakan kenderaan mereka menerusi aplikasi berkenaan.
Kini terdapat kira-kira 800 buah kenderaan milik orang awam yang berdaftar dengan Trevo di kawasan Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Menurut Leon, segmen yang pesat bertumbuh dalam sistem ekonomi perkongsian adalah penawaran insurans, dengan pemilik kenderaan, rumah, atau bilik pastinya mahu memastikan aset mereka dilindungi sebelum memberi sewa kepada orang tak dikenali.
“Socar sendiri turut menawarkan insurans kepada pelanggan kami, dengan pakej perlindungan keseluruhan sehingga nilai RM3 juta,” katanya.
Sementara itu, Leon menjelaskan meskipun pertumbuhan ekonomi perkongsian melibatkan kenderaan seperti Grab dan Socar dilihat bersifat ‘mengganggu’ industri automotif di negara ini, pihaknya tidak melihat akan berlaku penurunan dari segi jualan kenderaan.
“Saya percaya jualan kenderaan di Malaysia akan terus meningkat, sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun lagi.
“Rakyat negara ini minat memiliki kenderaan mereka sendiri dan hal ini dapat dilihat pada kadar penembusan pemilikan kenderaan yang sangat tinggi di sini.,” katanya.
Tambah Leon, industri automotif bagaimanapun akan melihat perubahan dari segi jenis kenderaan yang diminati pengguna, misalnya kenderaan utiliti sports (SUV) semakin popular dalam kalangan pelanggan Trevo.