Oleh NUR NAZLINA NADZARI
ARAU – Penduduk yang bimbang dengan keselamatan pelajar meminta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun di Sanglang dekat sini ditutup berikutan pandemik Covid-19 bagi Kluster Sivagangga di kawasan tersebut.
Penduduk, Ooi Kock Chai, 52, menggesa sekolah tersebut ditutup kerana ia terletak bersebelahan Klinik Kesihatan Kuala Sanglang yang menjadi pusat saringan Covid-19 bagi penduduk Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.
Katanya, jarak sekolah yang dekat dengan pekan Sanglang juga mendedahkan pelajar dengan wabak itu.
“Jarak sekolah ini dengan kawasan kampung yang terlibat hanya kira-kira 200 meter sahaja dan kerajaan perlu mengambil perhatian mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui di Sanglang dekat sini hari ini.
Sehingga pagi ini, SJKC Chin Hun tidak mendapat arahan untuk tutup manakala dua lagi sekolah di kawasan tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang diberi cuti seminggu sehingga Jumaat depan.
Arahan itu berikutan terdapat individu dari dua sekolah terbabit yang mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Kuala Sanglang, Teoh Chin Bin, 57, berkata, pekan Sanglang kini seperti pekan ‘hantu’ sejak kes Covid-19 menular ke kawasan tersebut.
“Kawasan ini sunyi apabila penduduk telah mula kuarantin di rumah dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar yang kerajaan laksanakan,” ujarnya.
Chin Bin pada masa sama berharap bantuan daripada segi makanan dapat disalurkan kepada penduduk yang tidak dapat keluar rumah kerana arahan kuarantin.
Pada semalam, kerajaan Negeri Perlis mengumumkan pelaksanaan PKPD secara bersasar di dua buah kampung tersebut bermula 10 malam semalam hingga 4 September ini.
Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.-K! ONLINE