SEKITAR penghujung tahun lalu, masyarakat dunia digemparkan dengan penularan pandemik Covid-19. Wabak berbahaya berasal dari Wuhan, China itu bagaimanapun merebak dengan pantas ke seluruh dunia beberapa bulan kemudian.
Setakat semalam, wabak tersebut telah menular di 213 buah negara dengan merekodkan lebih 19 juta kes positif dan lebih 700,000 kematian. Malaysia juga tidak terkecuali daripada diserang wabak tersebut dengan jumlah kes keseluruhan yang direkodkan semalam sebanyak 9,070 kes positif.
Biarpun begitu, kerja keras yang dilakukan oleh pihak kerajaan sejak Mac lalu berjaya membendung wabak tersebut daripada terus menjangkiti rakyat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sehingga ke satu tahap, negara pernah mencatatkan sifar kes penularan tempatan selama beberapa hari.
Bagaimanapun baru-baru ini, kes melibatkan jangkitan tempatan di dalam negara kembali meningkat dengan kewujudan beberapa kluster baharu. Keadaan tersebut lantas membimbangkan orang ramai.
Bagi mengulas lanjut mengenai isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah di Putrajaya baru-baru ini.
KOSMO! Ahad: Bagaimana Datuk melihat tahap pematuhan masyarakat di negara ini terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak Mac lalu?
NOOR HISHAM: Kita lihat pada PKP fasa pertama hingga keempat, tahap kepatuhan masyarakat adalah sangat tinggi. Contohnya, sewaktu Mac, semasa kes di negara ini menunjukkan peningkatan berbanding negara-negara luar, kerajaan telah melaksanakan PKP dan terbukti berkesan dalam mematahkan lengkok graf daripada terus meningkat.
Kesedaran dan tahap kepatuhan masyarakat juga tinggi sehingga kes-kes harian semakin berkurangan. Kita juga berjaya memperoleh angka satu digit dan sifar dalam tempoh beberapa hari berturut-turut.
Bagaimanapun sebaik sahaja negara beralih kepada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu, saya lihat orang ramai mula leka dan ambil mudah dengan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Hal ini berlaku mungkin disebabkan oleh penurunan angka kes kepada satu digit dan sifar, selain mereka sudah berasa selesa.
Biarpun begitu, tahap kesedaran yang semakin rendah ini menyebabkan kes harian kini mula bertukar kepada dua angka dan hal ini sangat membimbangkan kami.
Justeru, saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia supaya patuh kepada SOP yang ditetapkan kerana kita akan laksanakan semula PKP jika virus merebak semula dalam kalangan komuniti.
Melihatkan angka kes harian yang kini semakin meningkat dan terdapat ura-ura berlakunya gelombang ketiga, adakah kerajaan akan melaksanakan semula PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)?
Sudah tentu. Jika tiada pematuhan dan ada jangkitan yang tidak terkawal berlaku pada masa akan datang, kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan kembali PKP atau PKPD seperti sebelum ini.
Apa-apapun kami mengamalkan prinsip prepare for the worst and hoping for the best (bersedia untuk situasi terburuk dan berharap kepada yang terbaik). Kerajaan sentiasa bersiap sedia dengan kebarangkalian berlaku gelombang ketiga. Kita sudah melihat kes ini sejak Disember 2019 dan sentiasa belajar daripada negara-negara luar bagaimana mereka menguruskan kes.
Setakat ini, kita belajar dan ambil semua pendekatan kesihatan awam daripada pengalaman lalu iaitu ketika Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat MERS-CoV melanda negara. Kita guna pengalaman lepas dalam pengawalan penyakit berjangkit.
Apapun, segala tindakan yang diambil juga adalah berpandukan garis panduan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan melihat kepada segala masalah dan cabaran yang mendatang. Kadangkala, kita berjaya melaksanakan lebih daripada tanda aras yang ditetapkan WHO.
Bagaimanapun, ingin ditekankan di sini, untuk memerangi Covid-19 bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau Kementerian Kesihatan Malaysia, tetapi juga melibatkan semua pihak.
Kami menyeru orang ramai supaya terus mengambil langkah-langkah pencegahan yang telah ditetapkan supaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
Beberapa pihak mendakwa, pelaksanaan kuarantin di rumah menjadi punca peningkatan kes yang berlaku pada hari ini. Apakah pandangan Datuk mengenai isu tersebut?
Pelaksanaan kuarantin di rumah atau pusat kuarantin adalah diiktiraf oleh WHO buat individu yang baru pulang dari luar negara. Bagaimanapun, saya melihat isunya bukanlah kuarantin di rumah atau di pusat kuarantin. Sebaliknya, ketidakpatuhan individu itu sendiri terhadap SOP ditetapkan.
Jika kita lihat kes yang berlaku di Australia, gelombang kedua yang berlaku bukanlah di rumah. Sebaliknya di pusat kuarantin apabila mereka tidak patuh kepada SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.
Sekarang pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan. Adakah pemakaian pelitup muka di tempat awam yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mampu mengurangkan jangkitan dalam kalangan masyarakat di negara ini?
Di peringkat awal, kita masih tidak kenal virus tersebut dan tiada bukti pemakaian pelitup muka mampu mengelak wabak Covid-19.
Jadi, WHO menegaskan pemakaian pelitup muka cuma untuk individu bergejala atau ketika berada di tempat awam. Pada bulan Februari dan Mac, WHO membuat garis panduan baharu iaitu pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan, namun digalakkan.
Bagaimanapun di negara ini, kita mula mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos lalu bagi membedung penularan wabak.
Bukan sahaja pelitup muka, kita juga perlu patuh kepada dua perkara penting lain iaitu penjarakan selamat sejauh satu meter antara individu dan elakkan berada di tempat yang sempit.
Mereka yang mengingkari arahan itu bakal berdepan hukuman denda RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Melihatkan pelbagai pelitup muka dijual di pasaran dan segelintir individu lebih selesa mengenakan pelitup muka daripada fabrik. Adakah penggunaan pelitup muka jenis fabrik juga berkesan dan mampu mengawal jangkitan di tempat awam?
Menerusi garis panduan yang telah ditetapkan oleh WHO, pemakaian pelitup muka diwajibkan tanpa mengira sama ada pelitup muka perubatan ataupun bukan perubatan yang diperbuat daripada fabrik.
Biarpun begitu, bagi individu yang ingin menggunakan pelitup muka jenis fabrik, ia harus mempunyai tiga lapisan seperti yang ditetapkan oleh WHO.
Ia mempunyai lapisan dalam yang bersifat menyerap air (hidrofilik), lapisan tengah yang bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik) dan lapisan luar yang bersifat menghindar air (juga hidrofobik).
Umum mengetahui sejak awal tahun lalu, pakar-pakar perubatan dunia termasuk Malaysia sibuk membangunkan vaksin mencegah Covid-19. Setakat ini, sejauh mana tahap perkembangan kajian untuk membangunkan vaksin itu di Malaysia dan negara luar?
Banyak vaksin yang dijalankan kini masih dalam penyelidikan kajian fasa ketiga. Bagaimanapun, Malaysia tidak terpilih lagi untuk jalankan kajian fasa ketiga.
Kita perlu lihat kemampuan negara untuk bangunkan vaksin. Walaupun ada perancangan tetapi setakat ini, kita masih tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.
Bukan dari segi kewangan sahaja, tetapi juga dari segi kepakaran dalam bidang tersebut. Bukan mudah untuk melaksanakannya memandangkan kita perlu melatih pakar-pakar sedia ada dalam penghasilan vaksin.
Biarpun negara-negara luar kini dalam usaha membangunkan vaksin, namun kebimbangan tetap ada yang mana kita khuatir tahap keberkesanannya terhadap manusia, selain kebarangkalian vaksin tersebut mempunyai kesan sampingan terhadap pesakit.
Kesemua faktor ini perlu dilihat memandangkan vaksin dan virus mempunyai banyak strain.
Kita bimbang vaksin yang dihasilkan itu hanya boleh digunakan untuk sesetengah jenis strain dan tidak boleh dipakai strain lain.
Situasi yang membimbangkan ini menyebabkan bahagian sempadan negara masih dikawal sehingga ke hari ini. Adakah sempadan negara akan dibuka dalam waktu terdekat?
Kita masih perketatkan kawalan di sempadan negara. Satu ketika, rentas sempadan antara negeri pun tidak dibenarkan. Bagaimanapun berbeza pula hari ini apabila kesemua zon yang sudah hijau dibenarkan untuk direntas, kecuali beberapa zon yang masih kuning.
Kawalan di sempadan perlu dikekalkan dan sekarang kerajaan masih memperketatkan jalan-jalan tikus. Biarpun begitu, kita sedang mengadakan perbincangan antara negara jiran seperti Singapura dan Brunei bagi melihat adakah kawasan di sempadan kedua-dua negara tersebut sudah boleh dibuka.
Apapun, kita akan lihat keadaan semasa. Jika rentas sempadan negara dibenarkan sekalipun, ia perlu mendapat persetujuan bersama antara negara-negara tersebut dari segi SOP dan pengawalan serta pengurusan risiko yang bakal timbul.
Akhir sekali, apakah nasihat yang Datuk boleh berikan kepada rakyat di negara ini?
Rakyat perlu laksanakan tanggungjawab masing-masing dan lebih berdisiplin kerana saya lihat sebahagian daripada mereka kini sedikit leka.
Bagaimanapun, media perlu memainkan peranan dan meningkatkan kesedaran rakyat untuk terus patuh terhadap SOP bagi melawan Covid-19 secara klebih agresif.
Ini adalah tanggungjawab sosial bersama dan bukan sahaja kerajaan atau Kementerian Kesihatan semata-mata.
Jika tiada tanggungjawab sosial, kita pasti akan kalah.
Justeru, individu perlu perkasakan tanggungjawab sosial untuk menang dalam memerangi Covid-19.