PARA, BRAZIL – Seorang wanita tercampak ke dalam longkang sedalam 2 meter selepas skuter yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di satu persimpangan di bandar Paragominas di sini pada Rabu lalu, lapor Daily Mail.
Satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah kereta sedan berwarna merah dipandu lelaki membelok ke jalan kiri di persimpangan itu.
Pada waktu sama, mangsa yang menunggang di laluan lurus dari arah bertentangan merempuh bahagian hadapan kenderaan tersebut.
Impak pelanggaran itu menyebabkan Mayara dos Santos, 27, tercampak atas jalan, bergesel atas tar sebelum terjatuh masuk ke dalam satu lubang longkang monsun yang tidak tertutup berhampiran bahu jalan.
Pemandu kereta segera keluar dan melihat ke dalam lubang longkang tersebut, sebelum beberapa saksi tampil untuk menghulurkan pertolongan.
Media tempatan melaporkan seorang individu bernama Luis Carlos Diniz masuk ke dalam lubang longkang sama untuk membantu wanita tersebut keluar sebelum ambulans tiba.
Dos Santos berada di dalam longkang itu selama empat minit dan dikejarkan ke Hospital Awam Daerah Timur Para. Mangsa perlu menjalani pembedahan selepas didapati mengalami kecederaan pada bahagian saraf tunjang. – AGENSI