JARI-JEMARI gebu Yusra Artika Yusof, 20, lembut memegang sudip untuk mengacau kuah gulai ayam yang sedang dimasak di dalam sebuah periuk comel yang warnanya menyerlah seperti keemasan.
Periuk tersebut diperbuat daripada tembaga buatan tangan yang berusia puluhan tahun dan antara koleksi perkakasan dapur bernilai milik gadis tersebut.
Pembantu jualan yang berasal dari Kampung Kedai Buluh, Kuala Terengganu itu berkata, sewaktu ketika dahulu, periuk tembaga merupakan antara perkakasan dapur utama hampir setiap keluarga di negeri Darul Iman itu.
“Masakan terutama gulai yang dimasak di dalam periuk tembaga lebih tahan lama tanpa perlu dipanaskan selalu selain rasa rempah dan keaslian warnanya terpelihara.
“Periuk tembaga milik keluarga kami merupakan buatan tangan tukang dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu yang pernah terkenal dengan industri pembuatan produk daripada logam tersebut,” jelasnya kepada Panorama baru-baru ini.
Yusra Artika berkata, warisan industri pertukangan tembaga telah merosot selepas Kampung Ladang yang terletak berhampiran Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu hilang oleh arus pembangunan kira-kira 10 tahun lalu.
Katanya, tidak ramai tukang tembaga Kampung Ladang yang masih aktif menyebabkan produk tembaga buatan tangan Terengganu termasuk periuk agak sukar diperolehi kini.
“Begitupun, tidak silap saya, produk tembaga buatan tangan warisan Kampung Ladang masih boleh didapati di lot kedai tembaga Terengganu yang terletak di Pasar Payang 2, Kuala Terengganu.
“Saya dengar periuk tembaga kembali mendapat tempat dan permintaannya meningkat termasuk dalam kalangan pelanggan dari luar Terengganu sejak akhir-akhir ini,” ujarnya.
Sementara itu, pengusaha tembaga Terengganu, Salleh Mohd., 76, mengakui, permintaan terhadap periuk tembaga agak luar biasa pada masa ini setelah penggunaannya tular di media sosial sejak empat bulan lalu.
Sejarah
Dia yang lebih mesra dipanggil Pak Leh berkata, semua stok periuk tembaga buatan tangan yang dihasilkan habis diborong pelanggan termasuk menerusi pembelian secara online.
“Saya kini memberi tumpuan penuh kepada penghasilan periuk tembaga pada setiap hari bagi memenuhi tempahan yang tidak putus-putus daripada pelanggan.
“Sejujurnya saya agak terkejut kerana dulu purata hanya dua buah mampu dijual setiap minggu, kini setiap unit akan terjual tidak sampai 24 jam selepas dipamerkan di kedai,” katanya.
Pak Leh berkata, periuk tembaga buatan tangan Terengganu pernah melalui zaman kegemilangan pada tahun 1940-an hingga awal 1970-an sehingga menarik perhatian pengusaha negara jiran untuk melakukan plagiat.
Jelasnya, periuk tembaga yang dihasilkan di negara jiran itu dibuat dengan skala besar menggunakan mesin, sekali gus mampu menawarkan harga lebih murah kepada pengguna, namun berkualiti rendah kerana tidak menggunakan seratus peratus logam tembaga tulen.
“Industri pertukangan tembaga di Kampung Ladang dan Tanjung, Kuala Terengganu semakin merudum pada tahun 1980-an apabila ramai pengusaha berputus asa ekoran sukar untuk mencari makan.
“Hal itu diburukkan lagi apabila kedua-dua perkampungan Melayu yang sinonim dengan warisan seni tembaga tersebut dibangunkan dan penduduknya telah dipindahkan ke beberapa penempatan baharu di sekitar bandar raya Kuala Terengganu pada tahun 2000,” katanya.
Biarpun ramai rakan-rakan seperjuangannya ‘pencen awal’, Pak Leh tetap cekal untuk meneruskan legasi seni pertukangan tembaga yang dipelajari daripada bapanya, Mohd. Yusof sejak dia berusia belasan tahun.
Ujarnya, tembaga Terengganu yang diusahakannya kembali bangkit dengan pembukaan sebuah bengkel perusahaan baharu di kawasan seluas kira-kira 0.81 hektar di Pulau Kerengga, Marang pada tahun 2013.
“Tidak seperti pengusaha tembaga lain yang menghasilkan produk cenderamata, dulang hantaran, bekas lilin dan tepak sirih, saya lebih fokus kepada pembuatan perkakasan dapur seperti periuk, sudip, acuan bahulu dan akok serta kebok laksa,” katanya yang merupakan bekas penduduk asal Kampung Ladang dan kini tinggal berhampiran kampung tersebut.
Mengulas pembuatan periuk tembaga yang diusahakannya di Marang, Pak Leh memberitahu, perkakasan dapur itu dihasilkan secara buatan tangan sepenuhnya dan memakan masa hampir dua minggu untuk disiapkan.
Pak Leh yang diiktiraf sebagai Adiguru Tembaga oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2009 berkata, proses awal pembuatan periuk tembaga bermula dengan pembentukan acuan daripada lilin cair yang kemudiannya disalut dengan tanah liat kasar dan lembut.
“Acuan itu kemudiannya dijemur sehingga kering. Seterusnya dibakar sekejap di dalam dapur tanah bagi membolehkan lilin di dalamnya mencair sebelum dikeluarkan.
“Sementara itu, jongkong tembaga yang dicampur sedikit logam zink dan timah dimasukkan ke dalam bekas tahan panas yang bernama kui sebelum dimasukkan ke dalam dapur tanah sama bagi proses peleburan,” ujar Pak Leh.
Terangnya, kerja-kerja peleburan itu memakan masa lebih setengah jam pada kira-kira suhu 1,000 darjah Celsius.
Tambahnya, logam zink dan timah tersebut masing-masing berfungsi untuk membantu proses peleburan dan pelembutan tembaga bagi memudahkan proses pembentukannya kepada periuk.
“Cecair tembaga yang sudah melebur tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam acuan tadi semasa masih panas. Proses ini perlu dilakukan dengan pantas menggunakan teknik yang betul.
“Sebarang kesilapan akan menyebabkan cecair tembaga tadi tidak mengalir sekata ke dalam acuan sekali gus merosakkan pembuatan periuk,” katanya.
Pak Leh memberitahu, acuan tadi kemudiannya disejukkan beberapa ketika sebelum dipecahkan bagi mendapatkan bentuk periuk tembaga sebenar di dalamnya.
Beliau berkata, permukaan periuk tembaga berkenaan akan dicanai menggunakan mesin agar menjadi sekata dan berkilat sebelum bersedia untuk dipasarkan.
“Perusahaan saya memerlukan hampir satu tan jongkong tembaga setiap bulan yang dibekalkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan).
“Agensi kerajaan itu telah banyak mendorong saya meneruskan legasi pertukangan tembaga ini termasuk membantu menaik taraf bengkel perusahaan,” katanya.