fbpx

Landasan terbang tidak selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW DELHI – Lapangan Terbang Calicut disifatkan sebagai tidak selamat dan pesawat tidak seharusnya dibenarkan mendarat di situ, lebih-lebih lagi ketika cuaca hujan, menurut Kapten Mohan Ranganathan kepada portal Times of India (TOI).

Mohan ialah angggota jawatankuasa penasihat keselamatan yang ditubuhkan oleh Kementerian Penerbangan Awam dan pernah memberi peringatan berhubung perkara itu hampir sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun, nahas pesawat penerbangan Air India Express di bandar Kozhikode, negeri Kerala kelmarin menunjukkan bahawa amaran itu seolah-olah tidak dipedulikan.

“Amaran saya, dikeluarkan selepas nahas Mangalore, tidak dipedulikan. Landasan (lapangan terbang) di atas bukit dengan curam ke bawah. Zon penampan di hujung landasan pula tidak cukup panjang,” katanya.

Beliau berkata, lapangan terbang perlu ada zon penampan 240 meter (m) tetapi lapangan itu cuma memiliki jarak 90 m dengan kelulusan Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA).

“Malah, ruang di bahagian tepi landasan cuma 75 m berbanding jarak mandatori 100 m,” katanya kepada TOI.

Menteri Penerbangan, Hardeep Singh Puri mengesahkan angka kematian meningkat kepada 18 orang. Agensi berita AFP melaporkan seorang bayi berumur 10 bulan dan kanak-kanak berusia 18 bulan antara mangsa korban.

Kira-kira 100 lagi penumpang cedera selepas pesawat penerbangan Air India Express itu terputus dua semasa melakukan pendaratan ketika cuaca buruk.

Petugas penyelamat dengan bantuan orang ramai mengambil masa selama tiga jam untuk mengeluarkan semua mangsa, termasuk mereka yang tersepit.

Terdahulu, kapal terbang jenis Boeing 737 itu berlepas dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan membawa pulang rakyat India yang terkandas akibat pandemik Covid-19.

Pesawat itu dilaporkan tergelincir lalu jatuh ke lembah sedalam 10 m dan terputus dua, bagaimanapun tiada kebakaran berlaku walaupun ada kebocoran bahan api.

Salah seorang daripada dua juruterbang yang maut ialah, Deepak Sathe, bekas pilot pesawat tempur Tentera Udara India, menurut laporan.

Penumpang, Renjith Panangad, 34, mengimbas kembali kejadian semasa pesawat itu mendarat dan mendakwa gagal mengingati apa yang berlaku selepas terhempas.

“Selepas nahas, pintu kecemasan dibuka dan saya berjaya keluar. Bahagian kepala pesawat sudah hilang,” katanya ketika ditemui AFP di sebuah hospital di Kozhikode.

Pegawai polis kanan tempatan, Abdul Karim berkata, sekurangkurangnya 15 penumpang cedera parah dan dirawat di beberapa hospital berhampiran.

Media tempatan memetik data daripada satu laman penjejak penerbangan mendapati kapal terbang itu cuba melakukan pendaratan sebanyak dua kali tetapi terhempas ketika percubaan ketiga.

“Orang ramai membantu membawa mereka yang cedera ke hospital dengan menaiki kereta sendiri. Selepas itu, perkhidmatan kecemasan mengambil alih.

“Salah seorang bayi meninggal dunia dalam kereta sebelum sempat menerima rawatan,” kata seorang aggota penyelamat.

Perdana Menteri India, Narendra Modi menyampaikan ucapan takziah kepada semua mangsa, manakala Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkongsi rasa sedih dengan kehilangan nyawa dalam insiden itu. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI