LONDON – Bekas bintang Tottenham Hotspur, Rafael Van Der Vaart berharap pasukan itu mampu untuk mempertahankan Harry Kane bagi memastikan prestasinya meningkat di bawah bimbingan Jose Mourinho.
Penggempur utama England itu kembali menyertai pasukan selepas pulih daripada kecederaan hamstring pada awal tahun lalu untuk membantu pasukan itu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga keenam sekali gus layak beraksi pada saingan Europa musim depan.
Kane, 27, meledak lima gol dalam tiga aksi terakhir untuk mengumpul 24 gol musim ini dalam semua kejohanan tetapi wujud spekulasi mengatakan dia bersedia untuk meninggalkan pasukan itu untuk mencari lebih banyak kejayaan.
Bagaimanapun, Van Der Vaart yang beraksi selama dua musim bersama Spurs percaya Kane tidak perlu berbuat demikian semata-mata untuk memburu kejuaraan.
“Saya sangat berharap dia akan terus kekal. Dia merupakan seorang pemain yang hebat dan memberi sumbangan yang besar kepada pasukan.
“Spurs sudah memiliki seorang pengurus yang hebat dan ini adalah kelab yang mampu memberinya kejuaraan yang diidamkan selepas ini,” katanya.
Tambahnya, Kane tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan mencari angin baharu kerana percaya pengurusan Spurs sedang berusaha untuk memastikan kelancaran aliran tunai kelab itu bagi memastikan usaha memantapkan lagi pasukan berkenaan dapat dijalankan.
Spurs sejak beberapa tahun lalu tidak mampu untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain yang berkualiti ekoran berdepan masalah kewangan ekoran terlibat dalam pembinaan stadium baharu menyebabkan kemampuan mereka mencabar kejuaraan agak terbantut. – AGENSI