KUALA LUMPUR – Seorang jururawat warga Malaysia yang bertugas di Madinah, Arab Saudi meninggal dunia kelmarin.
Mangsa yang dikenali sebagai Nor Afizah Mohd. Salleh, 48, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.30 pagi di Saudi German Hospital, Madinah.
Difahamkan, mangsa yang berasal dari Gelang Patah, Johor meninggal dunia akibat ‘Pulmonary Embolism’ atau darah beku dalam saluran darah ke paru-paru.
Menurut hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Kelab Rakyat Malaysia di Riyadh (KRMR) Riyadh, Nor Afizah sebelum ini bertugas sebagai jururawat di Hospital King Faisal, Riyadh dan baru sahaja berpindah ke Madinah.
Tambah hantaran itu, Nor Afizah meninggalkan suami serta dua orang anak berumur enam dan sembilan tahun.
“Doakan dipermudahkan urusan jenazah Allahyarhamah dan dapat dikebumikan di Perkuburan Baqi, inshaAllah,”KRMR Riyadh lagi.
Sementara itu, menurut seorang rakannya, Yoges Paramaguru telah meninggalkan komen pada hantaran yang dimuat naik di Facebook KRMR Riyadh : Fiza (Nor Afizah) seorang yang suka senyum, tidak pernah marah.
Seorang lagi rakannya, Annusiaya Arumugham turut meninggalkan komen : Fiza seorang insan baik, lemah lembut. Takziah buat keluarga.- K! ONLINE.