APABILA bercakap mengenai rahsia menjaga kelangsingan diri, pastinya setiap individu mempunyai pelbagai petua dalam memastikan tubuh badan mereka kekal ideal.
Selain melakukan aktiviti fizikal, amalan menjaga pemakanan juga merupakan antara petua yang sering diamalkan bagi mendapat bentuk tubuh idaman.
Bagi seorang model sambilan, Shahrul Izwan Dona, 29, amalan memakan oat ketika sarapan merupakan antara rahsianya menurunkan berat badan.
Jejaka yang lebih mesra disapa Ivan itu memberitahu, menu oat kosong yang dicampur dengan buah-buahan banyak membantu dirinya ketika proses menurunkan berat badan.
“Saya mula terdetik untuk menjaga badan apabila mendaftar masuk satu agensi peragaan.
“Ketika itu, bentuk tubuh saya kelihatan sedikit berisi. Jadi, selain bersenam, saya mula menukar corak pemakanan harian ke arah yang lebih sihat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Dalam usaha menurunkan berat badan, anak kelahiran Sabah itu juga tidak mengambil nasi dan hanya menikmati ayam serta sayur rebus bagi hidangan makan tengah hari.
“Sebelum ini, menu-menu kegemaran rakyat Malaysia seperti roti canai, nasi lemak dan nasi goreng menjadi pilihan saya.
“Tidak dinafikan, usaha untuk menurunkan berat badan agak sukar, namun impian itu boleh dicapai sekiranya kita komited dan berdisiplin,” katanya.
Bercerita mengenai rutin fizikal, Ivan berkata, dia sentiasa bersenam bagi memastikan kecergasan dirinya berada pada tahap maksimum.
“Kebiasaannya, saya akan berjoging tiga kali seminggu sama ada pada waktu pagi ataupun petang selain berkunjung ke gim bagi membentuk otot-otot pada badan,” katanya.
Ivan turut mengingatkan jejaka lain supaya menitik beratkan penampilan diri dan wajah.
Katanya, dua aspek tersebut memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan diri khususnya ketika berdepan orang ramai.