fbpx

Industri kenaf sumber baharu pendapatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PEKAN – Industri kenaf dijangka terus berkembang maju sehingga mampu menjadi sumber baharu yang menyumbang kepada pendapatan negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya berkeyakinan terhadap potensi industri tersebut boleh dipertingkatkan melalui usaha dilakukan pada masa ini.

Menurut beliau, antara usaha yang dilaksanakan bagi menggalakkan pertumbuhan industri kenaf ialah dengan membangunkan Pusat Industri Kenaf di kawasan seluas 2.02 hektar di Tebu Hitam, Rompin dekat sini.

“Ketika ini, pusat tersebut mampu memproses 10,000 tan metrik batang kenaf kering dalam tempoh setahun melibatkan 1,000 hektar ladang.

“Ia bertujuan meningkatkan pengeluaran produk bernilai tambah yang tinggi dalam rangkaian pengeluaran industri berasaskan fiber termasuk sektor pulpa dan kertas.

“Dengan wujudnya pusat pemprosesan kenaf ini, ia akan turut membuka peluang (perniagaan produk hiliran) kepada usahawan dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Kenaf Peringkat Negeri Pahang di Kampung Merchong di sini semalam.

Selain itu, Mohd. Khairuddin menerangkan, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah membangunkan pusat penghasilan benih tanaman itu di Kedah dan Perlis.

“LKTN juga akan meneruskan usaha serta pelbagai inisiatif bagi memastikan keseluruhan rantaian industri kenaf terus diperkukuh selain memastikan kebajikan pekebun kecil terjaga,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, seramai 543 pekebun kenaf di negeri ini yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 diberikan bantuan sebanyak RM500 bagi setiap hektar tanaman.

Menurut Mohd. Khairuddin, sebanyak RM311,900 diperuntukkan kepada pekebun kenaf di negeri ini melibatkan kawasan tanaman 623.8 hektar di bawah inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRE-Prihatin).

“Di bawah PRE-Prihatin, LKTN diperuntukkan RM968,680 untuk diagihkan 1,357 pekebun kenaf di seluruh Semenanjung termasuk 543 orang di Pahang.

“Ia bagi membantu mereka (pekebun) yang terjejas akibat pandemik. Bantuan ini juga adalah untuk memastikan industri ini terus berkembang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI