SEBERANG PERAI – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah merangka beberapa program bagi menyantuni golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Zulkifli berkata, beliau akan turun padang bertemu golongan terbabit bagi menyampaikan maklumat dan kesedaran mengenai agama Islam.
“Kita sudah susun beberapa program dan saya sendiri akan adakan perbincangan dengan mereka.
“Dalam masa yang sama Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan berkolaborasi dengan negeri-negeri untuk sama-sama kita menzahirkan kepada mereka kesedaran dan kefahaman terutamanya hal ehwal agama,” katanya.
Beliau berkata demikin ketika ditanya pemberita berhubung tindakan yang dilakukan pihaknya bagi membantu golongan berkenaan pada sidang akhbar di Perai di sini hari ini.
Terdahulu Zulkifli merasmikan Konvensyen Guru Takmir Masjid dan Surau Peringkat Zon Utara Tahun 2020 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan peruntukan kerajaan persekutuan kepada imam, bilal, siak dan guru takmir berjumlah RM7,429,400 kepada Pulau Pinang, (RM17,423,300) Kedah, (RM23,919,600) Perak dan (RM3,507,900) Perlis.
Dalam perkembangan berbeza, Zulkifli berkata, keperluan menutup surau dan masjid di kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) berikutan penularan Covid-19 dari kluster Sivagangga bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kita amat berhati-hati dan kita dalam prosedur operasi standard (SOP) berkenaan solat jemaah adalah amat tegas dan jelas.
“Jika berlaku wabak di suatu tempat, maka atas nasihat MKN dan KMM, maka itulah yang akan diambil oleh kerajaan negeri tindakan untuk menutup berdasarkan maslahah semasa dan setempat,” katanya. – K! ONLINE