SHAH ALAM – Tiga termasuk seorang pegawai wanita sebuah agensi kerajaan di Selangor direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan rasuah pembekalan kontrak.
Perintah tahanan reman ketiga-tiga suspek berusia 27 hingga 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Raden Farah Shirazee di Mahkamah Sesyen Akta Pencegahan Jenayah ( POCA).
Terdahulu ketiga-tiga suspek dibawa ke kompleks Mahkamah Shah Alam pukul 10 pagi dengan memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diiringi pegawai SPRM.
Mereka diwakili Peguam Muaz Zafar dalam prosidiing reman tersebut.
Menurut sumber, pegawai wanita berusia 37 tahun itu terlebih dahulu ditahan pukul 11.45 pagi di Sungkai, Perak.
Katanya, SPRM kemudiannya menahan dua lelaki terdiri daripada adik kepada pegawai wanita dan seorang lagi pembantu rendah di sebuah agensi kerajaan selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor pukul 5 petang.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek telah bersubahat meminta dan menerima wang suapan RM18,000 daripada sebuah syarikat.
“Wang tersebut sebagai balasan dan dorongan membantu untuk mendapatkan kontrak pembekalan di jabatan kerajaan berkenaan,” katanya di sini.
Jelas sumber sama, dua penjawat awam itu menggunakan sebuah syarikat
sebagai proksi bagi mendapatkan kontrak pembekalan.
“Syarikat proksi tersebut merupakan milik adik kepada pegawai wanita itu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. -K!ONLINE