Kortrijk tetapkan nilai perpindahan penyerang skuad B-19 negara
PEMILIK kelab K.V. Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan meletakkan tanda harga sebanyak RM20 juta dalam klausa perpindahan pada kontrak penyerang skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Luqman Hakim Shamsudin yang ditandatangani selama lima tahun semalam.
Kata Vincent, nilai klausa perpindahan itu sememangnya ada dalam kontrak yang ditandatangani oleh pemain kelahiran Kelantan itu tetapi nilai sebenar tidak dapat didedahkan secara umum.
“Sudah tentu jika Luqman beraksi dengan baik, bakatnya akan dirisik oleh kelab-kelab lain dirantau Eropah. Cuma, klausa itu tidak boleh didedahkan dengan rasmi tetapi nilainya kemungkinan RM20 juta.
“Namun, pihak yang bakal untung nanti adalah bekas pasukan Luqman, Selangor kerana mereka boleh mendapat sedikit sebanyak nilai perpindahan pemain itu jika berhijrah daripada K.V Kortrijk kelak,” katanya pada Majlis Menandatangani Kontrak di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.
Tanda harga yang diletakkan oleh Vincent ke atas Luqman itu sekali gus menjadikannya pemain termahal negara mengatasi klausa perpindahan yang ditetapkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas pemain sayap, Akhyar Rashid sebanyak RM12 juta tahun lalu.
Sebagai rekod, Luqman telah diiktiraf di Eropah sebagai salah seorang daripada 100 pemain muda terbaik dan turut tercalon dalam senarai awal anugerah berprestij, Golden Boy tahun ini.
Malah, ejen Luqman yang berpangkalan di Eropah sebelum ini turut mengakui bahawa pemain berusia 18 tahun itu mendapat risikan dua kelab ternama iaitu Bayer Leverkusen dan Newcastle United sebelum mengambil keputusan untuk bersama K.V. Kortrijk.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon turut mengesahkan ada terma dan syarat yang ditetapkan sebelum membenarkan Luqman berhijrah ke kelab divisyen pertama Belgium itu.
“Kami tidak mengambil sebarang wang perpindahan ke atas K.V Kortrijk. Bagaimanapun, harus diakui terma khusus telah dipersetujui bahawa kami akan menerima sedikit sebanyak nilai perpindahan Luqman jika dia mahu berhijrah ke pasukan lain pada masa depan.
“Namun, jumlah peratusan yang bakal FAS terima nanti tidak boleh didedahkan demi menghormati kontrak yang ditandatangani oleh Luqman,” katanya. – K! ONLINE