PETALING JAYA – Penyanyi Yonnyboii mendedahkan dia langsung tidak mempunyai kawan sewaktu zaman kanak-kanak, bahkan sampai ke satu tahap, satu-satunya kawan rapatnya ialah buku diari.
Semua pengalaman teruk tersebut dilaluinya gara-gara sering menjadi mangsa buli sewaktu zaman persekolahan. Dia tiada teman bersembang dek perwatakan dirinya yang dianggap pelik.
“Dahulu apabila saya buka mulut untuk berborak sahaja, orang tak boleh terima. Jadi, saya dipulaukan oleh mereka (rakan sebaya) yang sepatutnya menjadi kawan saya.
“Orang cakap saya ini weirdo (seorang yang pelik) sampai saya alami kemurungan. Namun cara saya untuk keluar daripada masalah kemurungan ialah dengan menulis diari.
“Sekurang-kurangnya, saya tiada kawan tapi saya ada buku atau diari. Itulah kawan-kawan saya,” kata pemilik nama Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu kepada Kosmo! Online pada sesi fotografi khas di pejabat Indigital Music di sini baru-baru ini.
Mengulas tentang respons peminat terhadap single terbaharunya bersama Azlan Typwriter berjudul Kelabu, anak muda berusia 22 tahun itu tidak mahu terlalu mendabik dada namun bersyukur dengan penerimaan orang ramai.
“Saya bersyukur orang terima lagu ini. Saya tahu ramai remaja di luar sana mempunyai bakat tetapi mereka berasa tidak layak berada dalam kelompok masyarakat.
“Nasihat saya, jadikan kritikan orang sebagai motivasi untuk melakukan sesuatu yang baik, sekali gus menyumbang secara positif kepada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, klip video rasmi Kelabu akan mula boleh ditonton pada hari ini (Jumaat) pukul 9 malam menerusi YouTube Indigital Music.
Menariknya, Kelabu menjadi klip video artis tempatan pertama yang menjalani penggambaran klip video menggunakan First-person view (FPV) racing drone. – K! ONLINE