fbpx

Rebut peluang inisiatif Penjana Kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GRADUAN perlu mempunyai nilai tambah untuk bersaing dalam pasaran buruh. - AFP
MAHFUZ MOHAMAD WARTAWAN EKSEKUTIF

 

MENURUT Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran meningkat kepada 5.3 peratus membabitkan 826,100 individu pada Mei lalu susulan langkah penjimatan kos serta penutupan operasi sebahagian perniagaan akibat pandemik Covid-19.

Situasi itu diburukkan lagi dengan kadar penyusutan permintaan tenaga buruh negara akibat pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.

Ini bermakna, usaha orang ramai untuk mendapatkan pekerjaan pada masa kini kian mencabar dan ia dijangka berterusan sehingga suku kedua 2020.

Tidak terkecuali, golongan graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian.

Mereka bukan sahaja perlu bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan pekerjaan, malah terpaksa berusaha lebih keras bagi mengatasi golongan yang jauh lebih berpengalaman.

Bagaimanapun, kegusaran mereka itu sedikit sebanyak dapat diredakan dengan adanya inisiatif daripada kerajaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Salah satu cabang dalam Penjana Kerjaya adalah inisiatif #MyApprentice yang memberikan insentif kepada majikan sebanyak RM600 selama enam bulan untuk menggaji pekerja tempatan dalam kalangan lepasan sekolah dan siswazah.

Ini secara langsung mening­katkan lagi peluang graduan untuk mendapatkan pekerjaan pada masa sukar ini.

Menurut Timbalan Pengarah Kolej Genius Insan, Nor Adlyizan Theis, graduan juga perlu mempunyai nilai tambah de­ngan mempelbagaikan kemahiran ser­ta pengetahuan di luar bidang pengajian mereka.

“Graduan perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan penge­tahuan dan kemahiran mereka yang tidak hanya tertumpu kepada kursus mereka ikuti selain memperkasakan kemahiran ke­pimpinan dan kerja berpasukan.

“Modul keusahawanan yang ditawarkan sebagai mata pelajaran wajib di beberapa buah universiti secara tidak langsung memberi pengetahuan di sam­ping mencungkil minat pelajar untuk menceburi bidang ke­usahawanan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujarnya, tempoh latihan industri yang dijalani graduan perlu ditambah bagi memberikan pendedahan lebih lama kepada mereka untuk meneroka alam pekerjaan.

Selain bekerja makan gaji, graduan turut mempunyai pilihan untuk menjalankan perniagaan sendiri, namun ia tidaklah semudah yang disangkakan.

Pengasas Pusat Tuisyen Math Malaya, Mohamad Redzwan Azizan berkata, graduan yang memilih untuk bekerja sendiri perlu mempunyai niat yang betul, ilmu mencukupi, perancangan rapi dan sikap positif untuk memastikan perniagaan terus dapat beroperasi.

“Graduan perlu mempunyai niat yang jelas sebelum memulakan perniagaan seperti mahu menolong orang lain, menyelesaikan masalah serta memajukan diri dan keluarga.

“Ada sesetengah orang me­nganggap belajar hingga peringkat tertinggi tapi akhirnya berniaga adalah perkara yang sia-sia. Namun bagi saya, ia tidak betul kerana dalam apa jua yang kita ceburi, ilmu itu sangat penting terutamanya jika ingin bekerja sendiri.

“Perancangan teliti mengenai perjalanan perniagaan dan mempunyai sikap yang positif juga penting sebelum seseorang graduan mula bekerja sendiri,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI