Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KANGAR – Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki yang disyaki mabuk di Jalan Bohor Pulai dekat sini awal pagi tadi.
Mangsa, Mohd Shahfiq Muhammad Kabir, 32, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian berikutan parah di anggota badan selepas tercampak sejurus dirempuh kereta yang dipandu lelaki berusia 23 tahun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Mohd Shahfiq yang berasal dari Jejawi, Arau datang dari arah Kampung Behor Pulai melalui jalan berkenaan sebelum bertembung dengan kereta tersebut dari arah Utan Aji.
Setibanya di tempat kejadian, kereta suspek yang hilang kawalan telah memasuki laluan bertentangan dan merempuh mangsa dari hadapan.
Mangsa kemudiannya tercampak kira-kira 40 meter dari tempat kejadian dan motosikalnya telah diheret suspek sejauh 160 meter sebelum terbabas ke dalam sungai kecil di bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, hasil ujian alkohol ke atas pemandu mendapati terdapat kandungan alkohol di dalam badannya melebihi had dibenarkan.
“Pemandu terbabit direman empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE