fbpx

Pak Su dalang sindiket edar ketum tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 600 kilogram daun ketum dan tiga buah kenderaan milik sindiket Pak Su Ketum dirampas dalam serbuan di Gual Periok, Rantau Panjang pagi tadi.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 menahan seorang lelaki dikenali sebagai Pak Su yang menjadi dalang sindiket pengedaran 600 kilogram (kg) daun ketum dan penyeludupan dalam serbuan di sebuah rumah di Gual Periok pagi tadi.

Lelaki tempatan itu dicekup bersama tiga ahli sindiketnya termasuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan pada pukul 5.50 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam serbuan itu pihaknya berjaya merampas daun ketum tersebut bersama tiga buah kenderaan bernilai RM178,000 yang dipercayai digunakan untuk membawa bahan itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Pak Su merupakan ketua bagi sindiket berkenaan yang bertindak sebagai pengedar daun ketum di sekitar Pasir Mas.

“Pak Su dan sindiketnya turut menyeludup daun-daun ketum ke negara jiran menggunakan laluan tikus yang terdapat di kawasan sempadan negara berhampiran sungai Golok.

“Dia menggunakan banyak tempat berasingan untuk menyimpan ketum tersebut untuk mengaburi mata pihak berkuasa sebelum mengedarkannya,” katanya.

Katanya, ketika melakukan pemeriksaan awal di dalam kawasan rumah, sepasukan anggota PGA Batalion 9 Kuala telah menemui 120 kg daun ketum.

“Pemeriksaan seterusnya ke atas tiga buah kenderaan telah membawa kepada penemuan 480 kg lagi daun ketum.

“Kesemua suspek dan barangan rampasan termasuk kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI