PETALING JAYA – Selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa kini dilantik sebagai duta pertama rantau Asia Tenggara bagi produk kecantikan Lancome.
Pengumuman itu sekali gus menjadikan Neelofa sebagai wanita berhijab pertama yang menjadi duta produk antarabangsa tersebut.
Pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor, 31, mendedahkan, dia terkejut dan terkesima ketika mula-mula ditawarkan kontrak memegang tanggungjawab tersebut.
“Saya juga jadikan ini sebagai platform jihad kecil sebagai seorang muslim yang membawa nama Islam di persada antarabangsa khususnya dalam bidang kecantikan.
“Justeru, semoga dengan pelantikan ini, saya dapat mengharumkan nama Malaysia ke mata dunia sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada ramai wanita berhijab di luar sana,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman dirinya sebagai duta Lancome Asia Tenggara di Bandar Utama, sebentar tadi.
Pengacara Next to Neelofa itu turut berterima kasih kepada pihak Lancome Malaysia kerana kerjasama dengan jenama dari Perancis tersebut masih berterusan.
“Lancome telah banyak dan menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak beberapa tahun lalu. Ini tanggungjawab besar kepada saya sebenarnya. Insya-Allah saya akan lakukan sebaik mungkin tugas ini.
“Malah saya amat berbesar hati dan menerima dengan hati yang terbuka apabila diberikan tawaran yang amat bermakna ini,” ujarnya.
Terdahulu Neelofa dan Lancome telah menjalinkan kerjasama sejak tahun 2017. Ketika itu dia dilantik sebagai duta Lancome Malaysia. K! ONLINE