ISU pembedahan plastik dalam kalangan selebriti Korea Selatan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Demi kelihatan kacak dan cantik, pembedahan wajah bukan sahaja menjadi pilihan artis, bahkan juga orang biasa.
Bercakap tentang perkara tersebut, penyanyi sensasi, Jessi dengan berani membuat pendedahan tentang pembedahan plastik yang dijalaninya suatu ketika dahulu.
Antara prosedur yang pernah dilakukannya untuk cantik ialah dengan menyuntik bibir, selain melakukan rhinoplasty untuk memancungkan hidung.
Namun, kecaman peminat terhadap perbezaan wajahnya menyedarkan Jessi bahawa dia tidak lagi kelihatan asli.
“Orang sangka saya buat banyak pembedahan plastik tetapi sebenarnya tidak. Dahulu saya pernah cantikkan mata dan hidung dan sekitar lapan bulan lalu, saya lakukan prosedur menebalkan bibir atau lip filler.
“Tetapi orang kata muka saya seperti raksasa. Sekarang saya sudah buang semuanya,” ujar Jessi.
Jessi mengakui dia tidak lagi terfikir untuk mengulang tindakan sama.
“Saya suka dengan diri saya sekarang. Saya sedar kita tidak boleh jadi sempurna walau apa cara sekali pun,” akuinya.
Kini, Jess mahu setiap wanita mempunyai keyakinan diri dengan keunikan dan kecantikan tersendiri tanpa perlu melakukan pembedahan plastik.