fbpx

Irfan kembali ke pangkuan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurhaliza mendakap Irfan sebaik bayinya tiba di Hospital Pattani semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur sebaik sahaja bayi yang belum pernah ditemuinya sejak dilahirkan pada Februari lalu berada di dalam dakapan pada pertemuan penuh emosi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Songkhla, Thailand semalam.

Nurhaliza Chek Awae, 18, turut mengalirkan air mata kegembiraan ketika bercakap berkali-kali dengan bayinya, Irfan Muhammad yang berusia lima bulan 20 hari dengan berkata: “Irfan, ini ibu ya.”

Katanya, tiada perkataan yang mampu menzahirkan rasa gembira dan terharu kerana dapat melepaskan rindu bertemu anak keduanya itu.

“Sepanjang perjalanan dalam ambulans, saya tidak henti-henti mengucapkan syukur dan menatap wajah anak saya yang mirip dengan kakaknya,” katanya yang berada di Pattani ketika dihubu­ngi Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, dia bertolak dari Pattani pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) ditemani dua jururawat Hospital Pattani dan tiba di sempadan kira-kira dua jam kemudian.

“Saya gembira melihatnya si­hat. Sebaik pemindahan bayi dilakukan, kami bertolak semula ­ke Hospital Pattani dan tiba pada pukul 10.15 pagi untuk dikuarantin di bilik khas,” katanya sambil memberitahu suami, Muhamad Thifyolaeh, 28, dan anak sulung­nya menunggu di hospital itu.

Menurut Nurhaliza, dia menamakan anaknya dengan Irfan yang bermaksud kebaikan kerana dia ingin melupakan perkara buruk yang terjadi kepada mereka sekeluarga.

Dia yang sebelum ini be­kerja sebagai pelayan di sebuah restoran tom­yam di Sungai Chua, Kajang turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membawa pulang bayinya termasuk mereka yang menderma untuk dia menyelesaikan bil hospital.

Cerita mengenai dua beranak itu yang terpisah akibat pandemik Covid-19 pernah disiarkan Kosmo! ketika Nurhaliza merayu mana-mana pihak supaya membantunya untuk membawa pulang bayinya yang terpaksa ditinggalkan di Hospital Kajang ketika dilahirkan pada 17 Februari lalu.

Bayi itu terpaksa ditinggalkan di situ untuk rawatan lanjut kera­na dilahirkan tidak cukup bulan.

Perpisahan berlaku apabila Nurhaliza dan Muhamad yang pulang ke Pattani, Thailand untuk memperbaharui pas lawatan, dia tidak dibenarkan masuk semula ke Malaysia kerana penutupan pintu sempadan ekoran pelaksa­naan Perintah Kawalan Perge­rakan akibat penularan Covid-19.

Irfan dibawa pulang ke negaranya pada pukul 8.30 malam kelmarin dengan menaiki kende­raan khas selepas pihak Kedutaan Thailand menyelesaikan proses dokumentasi. Jarak antara Hospital Kajang ke sempadan kira-kira 500 kilometer.

Difahamkan, bil hospital yang perlu dilunaskan adalah seba­nyak RM30,218 meliputi RM4,950 kos bersalin pada Februari lalu dan RM25,268 untuk bil penja­gaan bayi pramatang selama lima bulan dalam jagaan hospital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI