ZAPORIZHIA, UKRAINE – Seorang wanita berumur 51 ditahan kerana cuba menceroboh ke dalam sebuah penjara untuk membebaskan anaknya di sini baru-baru ini.
Suspek yang tidak didedahkan identitinya itu menggali terowong haram ke penjara menggunakan alat seperti cangkul dan penyodok, lapor akhbar Daily Mail.
Dia menggali tanah sedalam 3 meter di satu kawasan ladang terbuka dekat pusat tahanan berkenaan. Selepas itu, suspek menggali terowong bawah tanah sepanjang 10 meter hingga ke bahagian bawah tembok penjara.
Anak lelaki suspek sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh.
Wanita tersebut menyewa sebuah rumah dekat ladang dan kawasan penjara sebelum melakukan kerja-kerja menggali pada waktu malam.
Bagaimanapun, dia ditangkap selepas tiga minggu berusaha menggali terowong tersebut. Sepanjang tempoh itu, suspek sudah mengalihkan keluar 3 tan tanah.
“Dia ada sejenis troli papan nipis dan menggunakannya untuk memindahkan tanah ke sebuah garaj terbiar,” menurut seorang pegawai penjara.
Penduduk tempatan, Serhey Pilnyansky berpendapat ibu banduan itu mungkin ahli keluarga pelombong dan sudah merancang secara teliti.
“Untuk menggali 3 meter ke bawah, itu sudah cukup susah. Apatah lagi dia tidak menggunakan mesin pengorek atau jengkaut,” katanya. – AGENSI