fbpx

Guan Eng mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berhubung pertuduhan meminta suapan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas satu pertuduhan meminta suapan berhubung projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Guan Eng ,60, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah secara rasuah meminta bagi pihak dirinya sendiri suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10% daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli.

Suapan itu adalah sebagai upah bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu,
membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik untuk
melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut
di bawah seksyen16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Hukuman itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharudin Wan Ladin mencadangkan ikat jamin RM2 juta dengan syarat-syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

“Jumlah yang ditawarkan adalah munasabah memandangkan kesalahan yang dilakukan serius kerana semasa kejadian tertuduh memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Kesalahan yang dilakukan telah menyebabkan ketidakkepercayaan masyarakat dan perbuatan itu (rasuah) ibarat kanser pada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng memaklumkan kepada mahkamah jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaam terlalu tinggi.

“Sepanjang siasatan dilakukan anak guam saya telah memberikan kerjasama yang baik pada pihak berkuasa dan sehingga pukul 10 malam semalam beliau masih lagi hadir ke pejabat SPRM memberikan kerjasama,” kata Gobind.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Azura membenarkan Guan Eng diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin dengan RM500,000 dibayar pada hari ini manakala baki RM500,000 lagi dibayar pada Isnin depan.

Azura turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan 9 September depan ditetapkan sebutan semula kes.

Pada bulan lalu, Guan Eng diminta hadir tiga kali ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya iaitu pada 22, 23 dan 26 Julai lalu bagi memberi keterangan berhubung kes projek terowong dasar laut itu. – K! ONlLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI