KUALA LUMPUR – Penyanyi Dayang Nurfaizah mengakui tidak pernah terfikir untuk melakukan sebarang pembedahan kosmetik kerana bimbang risiko jangka panjang terhadap dirinya.
Penyanyi berusia 39 tahun itu sebaliknya sangat selesa dengan wajah semula jadi yang ada pada dirinya, termasuk warna kulit tanpa terikut-ikut dengan kegilaan kebanyakan wanita sekarang yang mahu tampil putih.
“Bagi mereka memilih untuk lakukan pembedahan kosmetik nak mancungkan hidung, tajamkan dagu dan suntik bahan pengisi atau filler pada bibir, itu adalah pilihan mereka.
“Tetapi sejujurnya saya tidak pernah terfikir untuk buat semua itu sebab takut. Bimbang jika wajah berubah dan perubahan itu tidak menjadi.
“Malah perkara itu memberi kesan untuk jangka masa panjang dan akan kekal tanpa boleh diubah ke bentuk asal, jadi saya tidak mahu mengubah apa-apa yang ada pada diri,” ujarnya kepada Kosmo! Online ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikan sebagai duta produk kecantikan Bungaa, semalam.
Pada masa sama, pelantun lagu Lelaki Teragung itu juga berkata, dia sangat selesa dengan tona warna kulitnya yang sawo matang dan enggan mengubah atau mencerahkannya dengan mencuba sebarang produk pemutihan.
“Itu kehendak individu dan masyarakat kita perlu sedar bahawa cantik tidak semestinya berkulit putih sahaja.
“Apa yang paling penting ialah kulit kita. Jika kulit sihat, sekali gus buatkan kita rasa yakin. Itulah makna sebenar kecantikan pada saya. Kita perlu yakin dengan diri sendiri,” ujarnya. K! ONLINE