fbpx

Azean sasar sejuta subscribers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEAN (kanan) sanggup menangguhkan hasratnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana mahu fokus kepada kerjayanya sebagai pencipta kandungan untuk permainan video dalam talian.

Kambing Golek bantu lonjak nama dalam permainan video

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

Nama Kambing Golek mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan para peminat permainan video dalam talian popular, VRChat atau penstriman secara langsung di laman perkongsian video terkenal, YouTube.

Bagaimanapun, bagi sesiapa yang tidak pernah mengikuti perkembangan permainan video itu, mendengar nama tersebut pastinya akan membuatkan mereka terpinga-pinga dan dahi berkerut apabila mengetahui bahawa pemilik nama itu merupakan seorang gadis manis yang bertudung.

Ketika diajukan soalan berhubung pemilihan nama Kam­bing Golek kepada pemiliknya, Azean Abdul Malik, 22, dia sendiri tidak dapat memberikan jawapan tepat mengapa nama unik itu menjadi pilihannya.

“Sampai sekarang saya tidak ada jawapan untuk soalan itu,” kata gadis kelahiran Pulau Pinang itu kepada Kosmo! baru-baru ini.

 

AZEAN terkenal dalam kalangan peminat-peminat permainan video dengan nama unik iaitu Kambing Golek.

 

Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu tidak menafikan bahawa populariti nama Kambing Golek sedikit sebanyak membantu melonjakkan namanya dalam industri penstriman video dalam talian.

“Laman permainan video di YouTube yang menggunakan nama Kambing Golek ini sebenarnya telah wujud sejak tiga tahun lalu dengan mempunyai 300 orang subscribers (pengikut) pada peringkat permulaan.

“Sehingga kini jumlah subscribers saya sudah melebihi 230,000 dan mungkin saya akan fokus untuk mendapatkan sehingga sejuta subscribers tidak lama lagi. Itu sasaran saya,” ujar Azean.

Selain YouTube, Kambing Golek juga mempunyai hampir 70,000 dan 30,000 pengikut ma­sing-masing dalam laman Instagram atau Facebook yang menggunakan nama Wakambing.

Difahamkan, video penstriman yang dilakukan Azean juga pernah mencecah 600,000 tontonan dalam masa yang singkat dan gadis itu sendiri pernah dilabelkan sebagai antara lima streamer popular wanita ketika ini oleh portal Thelaki.

 

 

Jelas Azean, dia pernah berhasrat menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi, namun terpaksa menangguhkannya buat sementara waktu bagi memberi fokus kepada kerjaya­nya sebagai pencipta kandungan untuk permainan video dalam talian.

“Saya gembira dengan apa yang saya lakukan ketika ini dan nasihat saya terutamanya kepada golongan wanita serta mereka yang berminat dan baru mahu berjinak-jinak dengan permainan video ini, teruskan sahaja dengan minat anda. Tidak perlu ambil kisah sangat apa kata orang terhadap kita kerana itu minat kita.

“Lagipun dunia permainan video ini luas. Ada bakat untuk streamer, caster (pengulas), game developer (pembangun perisian permainan video) dan sebagainya.

“Tidak perlu PC (komputer peribadi) yang canggih untuk bermula kerana telefon pintar atau sebarang peranti berkaitan boleh digunakan untuk tujuan itu asalkan anda gembira.

“Tapi ingat, kena disiplin apatah lagi kalau kita masih bergelar seorang pelajar,” katanya yang mula terjebak dengan dunia ini seawal usia tujuh tahun menerusi permainan video popular ketika itu, Nintendo Classic. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI